KUALA LUMPUR – Dalam tempoh tiga tahun yang boleh dianggap terlalu singkat untuk mengukur sesebuah kejayaan, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) di bawah kepimpinan Datuk Seri Mohamad Sabu bagaimanapun mampu melakar pelbagai kejayaan.
Berpandukan kepada slogan `Cukup & Terjamin’, Mohamad memandu KPKM dengan memberi fokus dan tumpuan khusus kepada beberapa sektor utama dengan matlamat memastikan bekalan makanan negara sentiasa mencukupi dan terjamin untuk rakyat.
Dalam tempoh itu, pelbagai inisiatif pembaharuan telah digerakkan Mohamad merangkumi pengukuhan keterjaminan bekalan makanan; reformasi sektor padi dan beras; usaha merapatkan jurang import; penambahbaikan tatakelola serta penstrukturan semula subsidi secara lebih bersasar.
Ia selaras dengan aspirasi Kerajaan MADANI yang menekankan keadilan, kecekapan dan kemampanan dasar.
Pencapaian utama Mohamad sepanjang tiga tahun pentadbirannya adalah menangani isu kekurangan bekalan makanan yang kritikal, khususnya melibatkan telur dan ayam, yang berjaya dipulihkan dalam tempoh singkat.

Selain itu, beliau turut memastikan bekalan beras untuk rakyat sentiasa mencukupi, termasuk ketika berdepan cabaran luaran seperti keputusan Kerajaan India menghentikan eksport beras putih.
Hasil daripada pendekatan menyeluruh, isu kekurangan bekalan makanan sepanjang tempoh tiga tahun pentadbiran Mohamad amat jarang berlaku.
Lebih membanggakan, kestabilan bekalan dan harga berjaya dikekalkan walaupun ketika musim perayaan, sekali gus meningkatkan keyakinan rakyat terhadap sistem keterjaminan makanan negara.
Bagi mengurangkan jurang import pula, KPKM di bawah teraju Mohamad turut mengukuhkan agenda imbangan dagangan agromakanan melalui pemerkasaan eksport komoditi bernilai tinggi.
Dalam masa yang sama, kerajaan turut memberi tumpuan strategik kepada pengeluaran domestik komoditi asas seperti usaha memperluas penanaman bawang tempatan serta pembangunan jagung bijian bagi mengurangkan import bahan mentah makanan ternakan.
Pendekatan menyeluruh itu bukan sahaja mengimbangi imbangan dagangan makanan negara, malah membina daya tahan sistem makanan nasional agar lebih mampan, berdaya saing dan tidak mudah terjejas oleh kejutan luar.

Dari sudut menambah baik tata kelola pula, Mohamad turut memberi penekanan serius selaras aspirasi Kerajaan MADANI yang menuntut integriti, ketelusan dan akauntabiliti dalam pengurusan dana serta rantaian bekalan makanan.
Antara langkah penting ialah pewartaan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) sebagai “badan awam” di bawah Akta SPRM 2009, yang berkuat kuasa pada 22 Mei 2023.
Ia membolehkan pemantauan integriti dan tindakan pencegahan rasuah dilaksanakan dengan lebih tegas terhadap urus tadbir, perolehan dan pengurusan sumber organisasi.
Kejayaan besar turut dilakar Mohamad dalam menstruktur semula subsidi ayam dan telur melalui pendekatan penyasaran yang lebih adil, berfasa dan berasaskan data.
Keputusan menamatkan subsidi dan kawalan harga ayam bermula 1 November 2023 misalnya, memberikan penjimatan kepada kerajaan kira-kira RM100 juta sebulan (sekitar RM1.2 bilion setahun) yang disalur semula kepada inisiatif kebajikan rakyat dan pengukuhan ekosistem makanan.
Bagi subsidi telur ayam, fasa rasionalisasi iaitu kadar subsidi telur dikurangkan daripada 10 sen kepada 5 sen sebiji berkuat kuasa 1 Mei 2025, sebelum subsidi dan kawalan harga telur ditamatkan sepenuhnya pada 1 Ogos 2025 memberi penjimatan sekitar RM135 juta kepada kerajaan.
Secara keseluruhan, kejayaan reformasi subsidi ayam dan telur ini terletak pada dua perkara iaitu KPKM berjaya mengurangkan ketirisan dan beban perbelanjaan subsidi.
Dalam masa sama, KPKM turut memastikan bekalan kekal terjamin dan pasaran bergerak ke arah struktur yang lebih sihat, selari dengan prinsip MADANI yang menuntut tatakelola baik, keadilan, dan tanggungjawab fiskal.
Beberapa kejayaan lain turut dilakar Mohamad sepanjang tiga tahun menerajui KPKM antaranya menjadikan Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2024 sebagai antara penganjuran paling berimpak dalam sejarah pameran agromakanan negara.
Berlangsung pada 11 hingga 22 September 2024 di MAEPS, Serdang, MAHA 2024 turut membawa signifikan tersendiri kerana diadakan sempena meraikan 100 tahun penganjuran MAHA.
Dari sudut pencapaian, MAHA 2024 melepasi sasaran tiga juta pengunjung apabila merekodkan kehadiran sekitar lima juta hingga 5.5 juta pengunjung serta mencatat nilai jualan langsung melebihi RM41 juta.

Selain itu, Mohamad turut mencatat kejayaan besar melalui Program Jualan Agro MADANI melibatkan sebanyak 13,484 siri penganjuran di seluruh negara sehingga Ogos 2025.
Tekad Mohamad untuk menambakbaik Geran Agropreneur Muda (GAM) di bawah KPKM juga terserlah apabila sehingga September 2024, seramai 9,754 agropreneur muda telah mendapat kelulusan geran dengan nilai bantuan dalam bentuk barangan berjumlah RM178.5 juta.

Selain itu, KPKM turut memperkenalkan Geran Scale-Up untuk peserta yang kekal aktif dan berdaya maju, khususnya projek huluan tanaman, ternakan dan perikanan, dengan bantuan lanjutan sehingga RM50,000 kepada penerima GAM terdahulu bagi mengembangkan skala operasi.
Geran itu juga memberi penekanan kepada penggunaan agroteknologi seperti pertanian persekitaran terkawal (CEA), pertanian bandar, IoT dan AI, selaras keperluan meningkatkan produktiviti dan daya saing – MalaysiaGazette
















