KUALA LUMPUR – Desakan DAP agar Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) diiktiraf kerajaan dilihat berpotensi memecah-belahkan kerjasama Barisan Nasional dan Pakatan Harapan (BN-PH) dalam Kerajaan Perpaduan.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Ampang, Datuk Hasry Sham Chasemen berkata, sekiranya berterusan, BN perlu menilai semula kerjasama itu kerana DAP tidak lagi komited kepada prinsip keharmonian dan kestabilan politik.
“DAP sudah memberi kata dua kepada Yang Amat Berhormat Datuk Seri Anwar Ibrahim. Persoalannya, apakah pendirian UMNO?
“UMNO perlu tampil dengan sikap yang jelas, berprinsip dan berani demi mempertahankan kestabilan negara dan keutuhan Kerajaan Madani,” katanya menerusi satu kenyataan kepada MalaysiaGazette, hari ini
Khamis lalu, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh menempelak Timbalan Pengerusi DAP, Nga Kor Ming kerana meminta pertemuan dengan Perdana Menteri untuk membincangkan mengenai pengiktirafan UEC.
Kemudian, Pengarah Pendidikan Politik DAP, Howard Lee pula menyifatkan kenyataan Dr Akmal mengenai pengiktirafan UEC sebagai memutar belit dan berasaskan sentimen untuk menakut-nakutkan rakyat.
Hasry yang juga Exco Pemuda UMNO Malaysia menegaskan, sebarang tindakan mahupun tekanan politik yang boleh menggugat keharmonian Kerajaan Perpaduan perlu ditangani dengan serius.
“Kestabilan politik merupakan teras utama kelangsungan Kerajaan Madani di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya.
Menurut Hasry, meskipun DAP mendominasi jumlah kerusi Parlimen, namun ia tidak perlu dijadikan alasan untuk mengeluarkan kata dua mahupun menjadikan isu sensitif sebagai alat tekanan politik.
“Kerajaan Madani tidak boleh dijadikan sandaran kepada tuntutan mana-mana parti.
“Kerjasama politik mesti berasaskan muafakat, saling menghormati dan keutamaan kepada kepentingan nasional,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















