Ketua AMK Wilayah Persekutuan, Asheeq Ali Sethi Alivi

KUALA LUMPUR – Angkatan Muda Keadilan (AMK) Wilayah Persekutuan tidak berhasrat untuk masuk campur dalam semua urusan UMNO termasuk berhubung titah addendum.

Bagaimanapun menurut Ketuanya, Asheeq Ali Sethi Alivi menegaskan, AMK Wilayah tidak akan berkompromi terhadap sebarang kenyataan yang bersifat menghina, merendahkan atau menjejaskan kewibawaan institusi negara, khususnya institusi kehakiman.

“Prinsip ini terpakai kepada semua pihak tanpa pengecualian, tanpa mengira individu atau latar parti,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai respon kepada kenyataan Ketua Pemuda UMNO WP, Aliff Firdaus semalam yang bertajuk ‘Titah Addendum. Jangan Campur Urusan Kami’.

Aliff berkata demikian dipercayai membalas kenyataan Asheeq pada Isnin lalu yang katanya ingin memperbetulkan fakta Ketua Pemuda UMNO, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh berhubung keputusan Mahkamah Tinggi berkaitan titah berkenaan.

Dalam masa yang sama Asheeq berkata, AMK WP tidak menghalang mana-mana pihak untuk bercakap mengenai keputusan mahkamah namun ia perlu disuarakan dengan berfakta dan tidak mengelirukan rakyat.

“Setiap kenyataan wajar berlandaskan fakta, disampaikan secara tertib dan menghormati tonggak institusi negara, bukannya membina persepsi liar yang mengelirukan rakyat.

“Untuk berlaku adil, AMK Wilayah Persekutuan tidak pernah menghalang mana-mana pihak daripada mengkritik atau mempersoalkan keputusan Mahkamah. Namun, kritikan tersebut mesti dibuat secara berasas, beradab dan tidak melampaui batas sehingga mencalar prinsip kedaulatan undang-undang,” tambahnya.

Sementara itu, beliau berkata AMK WP menghormati pendirian UMNO untuk membela Datuk Seri Najib Razak atas dasar kerjasama politik yang telah terjalin sepanjang tiga tahun kerajaan perpaduan ditubuhkan.

“Namun harus difahami dengan jelas bahawa sikap berlapang dada dan menghormati pendirian rakan politik tidak boleh ditafsir sebagai kelemahan atau kesediaan untuk berdiam diri apabila batas kesopanan dan prinsip perlembagaan dilanggar,” katanya lagi. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast