KUALA LUMPUR – Bekas Speaker Dewan Negeri Selangor, Datuk Teng Chang Khim menegaskan keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonan semakan kehakiman Datuk Seri Najib Razak berhubung Titah Adendum tidak mencairkan atau menjejaskan prerogatif Raja-Raja Melayu.
Menurut beliau, keputusan tersebut adalah rumusan yang dibuat selepas hakim mengamati serta mengkaji penghakiman Mahkamah Persekutuan yang diputuskan sebelum ini, selain berlandaskan prinsip, falsafah dan tafsiran undang-undang jelas serta tersurat.
“Keputusan Mahkamah Tinggi itu tidak ‘mencairkan’ atau ‘memekatkan’ prerogatif Raja-Raja Melayu. Yang mencairkan prerogatif dan kuasa Raja-Raja ialah UMNO yang telah meminda Perlembagaan Persekutuan sebelum ini,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Mahkamah Tinggi pada Isnin menolak permohonan semakan kehakiman difailkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk memaksa kerajaan melaksanakan Titah Adendum berkaitan permohonan menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah.
Dalam penghakiman tersebut, mahkamah memutuskan Titah berkenaan tidak pernah dibincangkan atau diputuskan dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan, selain gagal memenuhi kehendak Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan menjadikannya tidak sah dari segi perundangan.
Pemimpin DAP itu menjelaskan, keputusan Mahkamah Tinggi berkenaan dibuat dalam kerangka perlembagaan sedia ada dan tidak melangkaui had kuasa kehakiman seperti didakwa sesetengah pihak.
Beliau berkata demikian sebagai respons kepada pandangan Profesor Madya Dr Shahrul Mizan Ismail, pensyarah Fakulti Undang-Undang, Universiti Kebangsaan Malaysia yang menyifatkan keputusan Mahkamah Tinggi tersebut telah membuka ruang perdebatan Perlembagaan yang signifikan.
Menurut Dr Shahrul, walaupun keputusan mahkamah berpaksikan kehendak Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan, terdapat hujah-hujah substantif bersandarkan rantaian duluan mengikat (precedent) yang kukuh, yang menunjukkan pendekatan mahkamah mungkin telah mencairkan prerogatif perlembagaan Raja-Raja Melayu.
Bagaimanapun, Chang Khim menolak tafsiran itu dan menegaskan keputusan Mahkamah Tinggi kekal selari dengan prinsip kedaulatan undang-undang serta tafsiran perlembagaan yang telah ditetapkan.
Dalam perkembangan berkaitan, Chang Khim dalam satu hantaran lain turut menyampaikan ‘kata-kata nasihat’ kepada beberapa pemimpin Democratic Action Party supaya lebih berhati-hati dalam mengulas isu sensitif berkenaan.
Beliau secara khusus menyarankan pemimpin DAP seperti Setiausaha Publisiti DAP, Yeo Bee Yin dan mantan Ahli Parlimen Bangi, Ong Kian Ming supaya mengambil cuti hujung tahun bagi mengelakkan tercetusnya kontroversi yang tidak perlu.
Menurut Chang Khim, langkah itu penting bagi mengelakkan salah faham awam serta melindungi parti daripada sebarang masalah atau tekanan politik yang boleh timbul susulan sensitiviti tinggi isu Titah Adendum. -MalaysiaGazette
















