GEORGE TOWN – Insiden pokok tumbang di Jalan Penang pada 20 Disember lalu didakwa sebagai petunjuk kegagalan pihak berkuasa tempatan (PBT) memastikan aspek keselamatan awam di Pulau Pinang berada pada tahap memuaskan.
Pengerusi MUDA Pulau Pinang, Andika Putera berkata, kejadian itu berlaku ketika isu keselamatan asas seperti jalan mendap dan penyelenggaraan infrastruktur awam semakin kerap diperkatakan.
Menurutnya, insiden pokok tumbang yang berlaku tanpa hujan dan angin sehingga mencederakan dua orang awam menunjukkan pemantauan keselamatan tidak dilaksanakan secara berkesan.
“Kejadian berkenaan amat memalukan kerana berlaku di kawasan tumpuan pelancong di George Town.
“Persoalan yang perlu dijawab Exco Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar dan Desa ialah sejauh mana pemantauan berkala dilakukan oleh pihak berkuasa tempatan.
“Selain itu, peranan ahli-ahli majlis yang dilantik untuk mewakili rakyat juga perlu diperjelaskan sekiranya isu keselamatan asas gagal dikesan sebelum kejadian berlaku,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambah Andika, aspek keselamatan awam tidak boleh dipandang ringan dan perlu diberi keutamaan oleh pihak berkuasa.
Jelasnya, kegagalan menyelenggara jalan raya, sistem saliran serta pokok matang bukan sahaja meningkatkan risiko kecederaan kepada orang awam, malah boleh menjejaskan imej Pulau Pinang sebagai destinasi pelancongan utama negara.
“Insiden ini turut timbul persoalan keberkesanan slogan negeri yang sering diketengahkan sekiranya realiti di lapangan menunjukkan sebaliknya.
“Sehubungan itu, kita menggesa pihak berkuasa tempatan dan Kerajaan Negeri melaksanakan audit keselamatan secara menyeluruh terhadap jalan raya serta pokok berisiko tinggi.
“Pelan tindakan dan garis masa pembaikan perlu didedahkan kepada umum bagi memastikan keselamatan rakyat dan pelancong sentiasa terjamin,” katanya.
ARTIKEL BERAKAITAN
Akar reput punca pokok berusia 30 tahun di Jalan Penang tumbang
Media sebelum ini melaporkan, siasatan awal mendapati akar pokok yang reput, ditambah hujan lebat sehari sebelum kejadian, menjadi punca sebatang pokok berusia 30 tahun tumbang di Jalan Penang di sini, yang mencederakan dua individu.
Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dalam kenyataan berkata, pokok itu dikenal pasti daripada spesies Bucida molineti, dengan ketinggian kira-kira 10 meter dan lilitan batang 1.2 meter. – MalaysiaGazette
















