Datuk Seri Najib Razak

KUALA LUMPUR – Keputusan Mahkamah Tinggi semalam berhubung skandal 1Malaysia Development Bhd. (1MDB) tidak harus dilihat sebagai kemenangan politik atau kejatuhan individu tertentu.

Sebaliknya, Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Ahmad Fahmi Mohd Samsudin berpendapat, keputusan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah itu adalah manifestasi keadilan institusi yang ditegakkan demi kepentingan rakyat dan negara.

Tambahnya, keadilan dalam kes berkenaan bukan hasil keberanian seorang tokoh semata-mata sebaliknya ia lahir daripada ekosistem perjuangan kebenaran yang melibatkan pelbagai pihak.

Ini termasuk wartawan penyiasat, pemberi maklumat, pegawai institusi berintegriti, aktivis masyarakat sivil, ahli akademik serta rakyat biasa yang konsisten mempertahankan kebenaran walaupun berdepan tekanan dan risiko.

ARTIKEL BERKAITAN

https://malaysiagazette.com/2025/12/26/keputusan-kes-1mdb-bukti-sprm-junjung-kedaulatan-undang-undang-tanpa-rasa-takut/

“Namun ABIM menegaskan bahawa menghukum individu sahaja tidak mencukupi sekiranya sistem yang memungkinkan penyalahgunaan kuasa terus dibiarkan rapuh.

“Tragedi 1MDB membuktikan bahawa sistem yang lemah lebih berbahaya daripada individu yang jahat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, ABIM berpandangan bahawa keputusan tersebut mesti menjadi pemangkin kepada reformasi kerajaan madani dalam struktur tadbir urus negara.

Antaranya termasuk pengukuhan sistem semak dan imbang, kebebasan institusi kehakiman, ketelusan pengurusan dana awam serta penolakan budaya politik yang membina kultus individu.

ABIM turut menggesa agar pengajaran daripada 1MDB dimanfaatkan untuk menilai semula pemusatan kuasa eksekutif dan fiskal.

Ia termasuk membincangkan keperluan pemisahan jawatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, serta pemisahan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya, sebagai langkah pencegahan jangka panjang demi memperkukuh amanah dan keyakinan rakyat.

Tegasnya keputusan kes 1MDB membawa pengajaran besar kepada ahli politik semasa dan generasi muda.

Katanya, normalisasi rasuah berskala besar dan politik wang hanya akan mewariskan kerosakan nilai serta kehancuran kepercayaan kepada masa hadapan negara.

“Hakikat ini mencerminkan kegagalan tadbir urus akibat pemusatan kuasa tanpa mekanisme pengawasan yang berkesan serta tanpa sandaran nilai moral yang kukuh.

“Hukuman berat yang dijatuhkan bukan bertujuan membalas dendam, tetapi sebagai peringatan tegas bahawa pengkhianatan terhadap amanah rakyat membawa akibat yang besar,” ujarnya lagi.

Semalam, Mahkamah Tinggi Putrajaya memutuskan Datuk Seri Najib Razak bersalah terhadap kesemua 25 pertuduhan berkaitan penyelewengan RM2.3 bilion dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah mensabitkan bekas Perdana Menteri terhadap empat pertuduhan menyalah guna kedudukan untuk mendapatkan suapan RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah yang sama.

Beliau yang kini hakim Mahkamah Persekutuan berpuas hati, pihak pembelaan gagal membuktikan kesnya melampaui tahap keraguan munasabah bagi semua pertuduhan.

Mahkamah kemudian mendengar penghujahan kedua-dua pihak pembelaan dan pendakwaan sebelum hukuman dijatuhkan terhadap bekas Ahli Parlimen Pekan itu.

Bagi pertuduhan salah guna kedudukan, beliau didakwa melakukan kesalahan itu di AmIslamic Bank Berhad, Bukit Ceylon di ibu negara antara 24 Februari 2011 dan 19 Disember 2014.

Bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram pula didakwa dilakukan di antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013 di lokasi sama. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. hukumanvyang dijstuhkan mungkin membuat segelintir pengkhianat berpesta dengan mengadakan jamuan besar untuk meraikan nya. Tetapi yang nampak jelas adalah kegagalan institusi kehakiman yang gagal memberikan keadilanh dengan menyembunyikan fakta dan kebenaran.. yang menjadi tanda tanya adalah institusi kehakman di negara ini sudah dibeli oleh pihak tertentu atau telah dikuasai.

Comments are closed.