Tangkap layar menunjukkan seorang lelaki mengeluarkan kayu hoki dalam pertengkaran dengan seorang pemandu kereta di Jalan Permatang Nibong, Bukit Mertajam, Pulau Pinang pada 25 Disember lalu.

BUKIT MERTAJAM – Dua lelaki direman empat hari bagi membantu siasatan kes ugutan jenayah susulan video pertengkaran antara mereka tular di media sosial termasuk seorang daripadanya memegang kayu hoki di Jalan Permatang Nibong di sini.

Majistret Nik Muhammad Shahrul Aiman membenarkan perintah reman terhadap kedua-dua suspek sehingga 31 Disember ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, kedua-dua suspek tiba di pekarangan mahkamah jam 9.40 pagi dengan keadaan tangan bergari serta diiringi polis.

MalaysiaGazette difahamkan, dalam kejadian pada 25 Disember lalu kira-kira jam 1.30 tengah hari, kedua-dua suspek yang masing-masing memandu kereta jenis Proton Exora dan Perodua Myvi dipercayai terlibat dalam satu salah faham di jalan raya.

Suspek berusia 44 tahun yang bekerja di sektor swasta dilaporkan memandu Proton Exora bersama ahli keluarganya, manakala suspek berusia 28 tahun yang bekerja sebagai juruteknik pula memandu Perodua Myvi, juga bersama keluarganya.

Difahamkan, pemandu Perodua Myvi membuat pusingan U secara mengejut sehingga menimbulkan rasa tidak berpuas hati pemandu Proton Exora.

Kedua-dua mereka kemudian memberhentikan kenderaan masing-masing dan dipercayai telah berdamai.

Bagaimanapun, selepas meneruskan pemanduan, juruteknik itu dikatakan meminta pemandu Exora berhenti buat kali kedua.

Pertemuan kali kedua itu dilaporkan mencetuskan pertengkaran mulut antara kedua-dua lelaki terbabit, selain pemandu Exora didakwa mengeluarkan sebatang kayu hoki.

Susulan itu, kedua-dua suspek tampil membuat laporan polis berhubung kejadian tersebut sebelum ditahan bagi membantu siasatan semalam.

Terdahulu tular rakaman video di media sosial berdurasi 37 saat yang memaparkan seorang lelaki memegang kayu hoki dan memarahi pemandu sebuah kereta.

Video tersebut mengundang kecaman netizen yang mendakwa ia sebagai tindakan buli jalanan serta mendesak polis mengambil tindakan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast