KUALA LUMPUR – Kemelut politik di Perlis memburukkan situasi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang kini dilihat berada dalam keadaan semakin lemah susulan krisis dalaman yang sedang dihadapi.
Namun, bekas Ketua Biro Penyelidikan dan Analisis Data Penerangan Bersatu Selangor, Mohamad Shafiq Abdul Halim berkata, adalah mengecewakan apabila Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin gagal mengambil tindakan tegas dan membuat keputusan sewajarnya bagi meredakan ketegangan serta mengelakkan berlakunya perpecahan dalaman parti.
Menurutnya yang juga ahli Bersatu Hulu Langat, konflik yang berlaku di Perlis seharusnya diselesaikan melalui proses musyawarah yang teratur dan berprinsip.
Jelasnya, satu mesyuarat tergempar Perikatan Nasional (PN) juga wajar diadakan sebelum sebarang pelantikan Menteri Besar Perlis baharu dibuat.
“Adalah tidak wajar untuk mempergunakan institusi istana bagi mengabsahkan kelemahan atau kesilapan prosedur, memandangkan umum sedia maklum bahawa pencalonan nama Menteri Besar tersebut tidak pernah dibincangkan atau dirujuk dalam mana-mana mesyuarat PN.
“Malah keputusan untuk menarik sokongan terhadap Menteri Besar terdahulu juga telah dibuat tanpa melalui sebarang mesyuarat rasmi PN.
“Keadaan ini jelas menunjukkan bahawa keputusan serta pendirian parti telah ditentukan secara unilateral, tanpa perbincangan dan musyawarah bersama antara parti-parti gabungan, yang bercanggah dengan prinsip tadbir urus dan amalan kolektif dalam sebuah gabungan politik,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu surat terbuka yang ditujukan kepada Muhyiddin yang dimuat naik di laman sosial Facebooknya hari ini.
Sementara itu, Mohamad Shafiq mendakwa, pelantikan jawatan dalam Bersatu dan PN tidak dibuat berdasarkan prinsip meritokrasi atau keupayaan individu, tetapi berasaskan hubungan dan sokongan peribadi terhadap Muhyiddin.
Akibatnya, kata beliau, sebahagian pemegang jawatan utama gagal melaksanakan fungsi dan tanggungjawab mereka secara efektif bagi memastikan kejayaan parti. – MalaysiaGazette
















