Foto FB Rosmah Mansor.

KUALA LUMPUR – Datin Seri Rosmah Mansor meluahkan rasa bimbang terhadap isu ketiadaan kesinambungan Permata Pintar di mana beliau sebelum ini menjadi penggerak utama kepada program pendidikan elit itu.

Isteri kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak itu berkata, beliau mungkin tidak lagi mencampuri urusan Permata Negara namun percaya masa depan anak-anak Malaysia tidak seharusnya menjadi mangsa keadaan, sentimen atau percaturan politik.

“Hari ini di kediaman saya, saya menerima kunjungan ibu bapa dan anak-anak Permata Pintar – anak-anak cerdas yang membawa harapan besar untuk masa depan negara. Dalam pertemuan yang sederhana tetapi penuh makna ini, saya mendengar sendiri kegusaran mereka tentang kesinambungan pendidikan anak-anak Pintar yang kini seolah-olah terpinggir.

“Saya mungkin tidak lagi mencampuri urusan Permata negara, namun saya percaya masa depan anak-anak Malaysia tidak seharusnya menjadi mangsa keadaan, sentimen atau percaturan politik. Anak-anak Pintar ini memerlukan perhatian, peluang dan sokongan yang berterusan agar potensi mereka tidak terhenti di tengah jalan.

“Walau apa pun pandangan dan perbezaan terhadap saya dan keluarga, janganlah sampai masa depan generasi muda negara ini tergadai. Mereka bukan sekadar kebanggaan ibu bapa, tetapi amanah untuk Malaysia,” tulis di Facebooknya semalam.

Permata Pintar yang ditubuhkan pada 2009 adalah inisiatif kerajaan yang diuruskan oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) untuk mengenal pasti dan membangunkan potensi pelajar pintar melalui program khusus di Kolej PERMATA@Pintar yang dilancarkan pada 2011.

Mengulas lanjut, Rosmah juga mengakui dalam setiap ujian, beliau percaya kebenaran dan keadilan akan menemukan jalannya.

“Dan selagi saya bernyawa, doa saya akan sentiasa mengiringi anak-anak ini – agar mereka terus melangkah jauh, bukan sahaja untuk diri mereka tetapi untuk negara yang kita sama-sama cintai.

“Terima kasih juga diucapkan kepada Tan Sri Hapsah dan Datuk Azizah kerana membantu untuk memberi nasihat kepada ibu bapa dan anak-anak muda ini. Juga kepada pihak media yang datang untuk memberi liputan dan tetamu lain yang memberi hadiah untuk harijadi saya baru-baru ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast