Ketua Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden.

KUALA LUMPUR – Kemelut politik yang berlaku di Perlis memperlihatkan Pas lebih layak menerajui Perikata Nasional (PN).

Ketua Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata, kegagalan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengawal Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dalam konflik politik di Perlis menunjukkan kelemahan parti itu.

Dalam masa sama, ujarnya, tindakan yang cuba menjatuhkan `rakan’ sendiri turut disifatkan sebagai perbuatan khianat.

“Faktanya jelas. Kawan kita gagal mengawal ADUN partinya yang sign SD menolak Cikgu Shukri.

“Bila ditanya, dijawab tiada arahan untuk ADUNnya sign SD.

“Didesak ambil tindakan tegas seperti Pas ambil tindakan terhadap 3 bekas ADUN Pas. Tapi sehingga kini tiada tindakan. Bahkan, dihantar pula nama untuk jadi MB.

“Tak bagi arahan. Tapi tak ambil tindakan. Kedua-duanya membawa maksud merestui tindakan,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.

Sementara itu, Afnan Hamimi berkata, dengan Presiden Pas mengambil alih jawatan Pengerusi PN, maka kerjasama baharu dengan Muafakat Nasional (MN) dapat diwujudkan.

“Yang khianat tak boleh dibuat kawan! Yang lemah tak boleh jadi ketua! Yang khianat, sila berambus! Yang lemah, sila turun!” katanya.

Hubungan Pas dan Bersatu ketika ini diibaratkan berada di hujung tanduk susulan konflik politik di Perlis yang tercetus akibat tindakan lapan ADUN masing-masing tiga daripada Pas dan lima Bersatu yang menandatangani akuan bersumpah (SD) menarik baliks sokongan terhadap bekas Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli.

Ekoran itu, Pas menamatkan serta-merta keahlian tiga ADUNnya yang membuka kepada kemungkinan berlakunya pilihan raya kecil (PRK), namun tiada tindakan diambil oleh Bersatu terhadap lima ADUN parti itu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast