NILAI – Hujan yang turun renyai seakan tidak memberi halangan kepada lebih 400 perserta Program Larian Sambutan 25 Tahun Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) berlari di sekitar di kampus USIM baru-baru ini. Berlangsung dengan penuh kemeriahan dengan penyertaan dari kalangan kakitangan, pelajar, alumni dan peserta luar,
Pelepasan larian bermula dari Kompleks Sukan Tunku Najihah dengan jarak larian sejauh sejauh lima kilometer melalui beberapa kawasan utama di sekitar kampus USIM seperti Bulatan IQRA, Bangunan Canselori, Bulatan Ilmu, Kompleks Islam Tuanku Muhriz dan Dewan Tuanku Canselori.
Program anjuran Persatuan Pegawai Tadbir dan Ikhtisas (Pragmatis) USIM bersama Urus Setia Sambutan 25 Tahun USIM Program tersebut telah diserikan dengan kehadiran Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Prof. Dr. Mushaddad Hasbullah mewakili Naib Canselor USIM.
Sebelum melepaskan para peserta, Dr. Mushaddad bersama-sama para peserta untuk acara senamrobik dan menyampaikan ucapan penghargaan mewakili Pengurusan Universiti atas penglibatan perserta.
Menurut Dr Helmi Mansor selaku Presiden Pragmatis, program larian di dalam kampus sudah biasa dianjurkan oleh pelbagai pihak termasuk persatuan pelajar dan persatuan ini menampilkan pengisian atau konsep berbeza untuk larian kali ini.
“Larian 25 tahun USIM kita tampilkan dengan keunikan tersendiri apabila pihak penganjur menyediakan stesen makanan dan minuman di beberapa lokasi sepanjang laluan larian. Kita sediakan kuih muih seperti popia sira, donut dan burger Malaysia”.
“Malah stesen gorengan panas-panas keropok lekor dan pisang goreng turut menjadi tarikah tambahan. Kelainan ini bukan sahaja menceriakan peserta, malah mencetuskan pelbagai ragam dan celoteh sepanjang larian menjadikan suasana program lebih santai, mesra dan penuh keceriaan”. Ujar Dr Helmi.
Program larian ini turut membawa simbolik kepada sambutan Jubli Perak USIM yang disambut pada tahun ini. Angka lima melambangkan tempoh 25 tahun perjalanan dan langkah berterusan universiti dalam memacu kecemerlangan pendidikan, penyelidikan dan pembangunan insan.
Setiap langkah yang diatur mencerminkan usaha kolektif warga USIM ibarat “bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat”.
Selain itu, penganjur turut memperkenalkan hadiah khas kepada peserta larian yang menampilkan tema 25 Tahun USIM sebagai satu inisiatif menggalakkan kreativiti peserta serta menyemarakkan lagi kemeriahan program.
Secara keseluruhannya, Program Larian Sambutan 25 Tahun USIM bukan sekadar sebuah acara kesukanan, tetapi menjadi wadah mencipta kenangan bermakna yang akan terus terpahat dalam ingatan warga universiti, sebagai tanda syukur atas perjalanan 25 tahun yang telah dilalui dan sebagai azimat untuk melangkah lebih gagah ke masa hadapan. – MalaysiaGazette
















