KUALA LUMPUR – Adalah lebih wajar Pas tidak membentuk sebarang pakatan dengan mana-mana parti Melayu lain disebabkan dilihat kurang rasa percaya dalam hubungan di bawah pakatan.
Sebaliknya, kata bekas Menteri Undang-Undang, Datuk Mohd Zaid Ibrahim, Pas sepatutnya berusaha mendapatkan 60 kerusi Parlimen pada pilihan raya umum, dan berunding dengan parti dominan lain seperti DAP untuk membentuk kerajaan.
Menurut beliau, ditambah dengan beberapa lagi kerusi Parlimen di Borneo, ia sudah memadai untuk Pas membentuk Kerajaan Pusat dengan majoriti yang stabil.
Tambah Mohd Zaid yang juga ahli UMNO Cawangan Bukit Damansara, rundingan tersebut tidak sepatutnya terlalu rumit memandangkan Pas sebelum ini menyokong sepenuhnya pembaharuan institusi yang dicadangkan Pengerusi Kebangsaan DAP, Gobind Singh Deo.
“Pas memberi jaminan kepada DAP bahawa ia akan menghormati prinsip-prinsip demokrasi dan mempertahankan Perlembagaan.
“DAP pula memberi jaminan kepada Pas bahawa pembahagian kuasa seperti yang diperuntukkan dalam Perlembagaan akan dihormati, dan kuasa negeri berkaitan Islam tidak akan dikurangkan dalam apa jua bentuk.
“Mahkamah tertinggi telah pun memutuskan perkara ini, dan tiada keperluan untuk perdebatan lanjut.
“DAP juga perlu menyokong pembangunan infrastruktur yang lebih besar di negeri-negeri Melayu,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.
Bagaimanapun, tambah Mohd. Zaid, halangan terbesar dalam rundingan itu adalah keperluan untuk menyingkirkan pandangan stereotaip lama terhadap satu sama lain, namun ia boleh dimulakan dengan minda yang terbuka.
Terdahulu, Mohd Zaid berkata, krisis politik di Perlis adalah sesuatu yang menyedihkan dan tidak sepatutnya berlaku kerana boleh memusnahkan hubungan antara Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Menurutnya, jika isu sebenar adalah untuk menukar Mohd Shukri Ramli kerana mendakwa prestasinya tidak memuaskan, maka pemimpin Pas lain sepatutnya juga dipilih sebagai Menteri Besar Perlis baharu.
“Melainkan apa yang berlaku di Perlis itu sebenarnya merupakan satu rampasan kuasa dalam kalangan sekutu. Ini sama sekali tidak boleh diterima,” katanya. – MalaysiaGazette
















