Tun Faisal Ismail Aziz.

KUALA LUMPUR – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menasihatkan Pas supaya menjaga amanah sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) dengan baik dan tidak menyerahkan semula (sub) jawatan itu kepada pemimpin parti lain.

Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz berkata, Bersatu menaruh harapan tinggi PN akan menjadi pembangkang yang lebih kuat dengan lantikan pengerusi daripada Pas.

Malah, katanya, PN dibawah teraju Pas juga akan dipersiapkan untuk berdepan Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16) dan pilihan raya negeri (PRN) akan datang.

“Jika diberikan rezeki, dapat mengangkat PN menjadi kerajaan sesegera mungkin,” kataya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.

Terdahulu, Tun Faisal berkata, beliau mengamati kenyataan yang dibuat pemimpin Pas khususnya Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari dan Ketua Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden susulan krisis politik di Perlis yang disifatkan agak kasar dari segi bahasa dan nada.

Malah, menurutnya, ia mungkin boleh ditafsirkan sebagai kurang berhikmah dan menimbulkan rasa kurang senang dan tidak selesa kepada banyak pihak, termasuk pimpinan Pas sendiri.

Selain itu, tambahnya, kenyataan kedua-dua pemimpin berkenaan juga dinilai tidak mencerminkan akhlak dan budi bahasa seorang wakil rakyat dan pemimpin sebuah parti Islam, apatah lagi daripada latar belakang keluarga alim ulama.

“Membaca tulisan YB, pada pandangan peribadi saya, jelas tulisan YB menunjukkan sikap meminta-minta jawatan oleh YB dan parti YB.

“Tulisan YB bukan sekadar meminta-minta jawatan malah dilihat seolah-olah memaksa-maksa untuk diberikan jawatan.

“Baiklah, sekarang jawatan Pengerusi Perikatan Nasional yang diidam-idamkan menjadi milik Pas dan Presiden Pas, Tan Sri Tuan Guru Haji Hadi Awang, terimalah amanah ini sebaik-baiknya,” katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast