Gambar yang dirakam pada 18 Disember 2025 ini menunjukkan kediaman rasmi Perdana Menteri Jepun, Sanae Takaichi, di Tokyo. foto AFP

TOKYO – Perdana Menteri Jepun, Sanae Takaichi, mungkin berdepan kesukaran untuk tidur selepas berpindah ke kediaman rasmi yang dikatakan dihuni roh askar Jepun dari kira-kira satu abad lalu.

Perdana menteri wanita pertama Jepun itu berpindah pada Isnin ke kediaman tersebut, yang terletak bersebelahan pejabatnya di tengah Tokyo, selepas lebih dua bulan selepas memegang jawatan itu.

Sebelum ini, beliau menetap di kediaman khas untuk ahli Parlimen, namun menerima kritikan kerana mengambil masa 35 minit untuk tiba ke pejabat selepas gempa bumi besar pada awal Disember.

Takaichi, 64, berkata, sejak memegang jawatan beliau terlalu sibuk sehingga hanya mampu tidur antara dua hingga empat jam setiap malam.

Kediaman baharunya itu, yang dibuka pada tahun 1929 dan reka bentuknya diinspirasikan Hotel Imperial di seberang bandar yang direka oleh arkitek Amerika Syarikat, Frank Lloyd Wright dikatakan akan menyumbang kepada gangguan tidurnya.

Bangunan itu pernah menjadi lokasi dua cubaan rampasan kuasa pada tahun 1930-an, apabila beberapa pegawai kanan termasuk seorang perdana menteri dibunuh oleh pegawai tentera muda.

Terdapat sekurang-kurangnya satu lubang kesan peluru – dikatakan ada kepercayaan bahawa roh mereka yang terlibat masih berkeliaran di lorong-lorong bangunan tersebut hingga kini.

Pendahulu Takaichi, Shigeru Ishiba, juga pernah menetap di kediaman itu selepas ia diubah suai pada 2005, dan berkata beliau tidak takut kepada hantu.

Sebelum itu, Fumio Kishida dilaporkan tidak pernah melihat sebarang kelibat dan tidur dengan lena.

Bekas perdana menteri Shinzo Abe serta Yoshihide Suga memilih untuk tinggal di tempat lain, menyebabkan kediaman tersebut tidak didiami selama sembilan tahun sehingga 2021. – Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast