Presiden Parti Amanah Negara, Datuk Seri Mohamad Sabu bercakap pada sidang media pada Konvensyen Parti Amanah di Kompleks Belia dan Kebudayaan Negeri Selangor, Shah Alam. Foto MUHAIMIN MARWAN, 8 November 2025

KUALA LUMPUR – Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Mohamad Sabu mengingatkan ahli-ahli parti itu supaya tidak menambah luka dengan mengutuk atau menghina UMNO yang disifatkan parti sahabat dalam Kerajaan Perpaduan yang sedang berdepan ujian kewangan dan penstrukturan semula.

Menurut beliau, apa yang melanda UMNO ketika ini boleh berlaku kepada mana-mana parti yang memerintah lain, termasuk Amanah.

Katanya, apabila berkuasa, pemimpin sering berdepan tekanan untuk menjaga parti, menyantuni penyokong dan mempertahankan kedudukan.

Dalam suasana itu, ujarnya, perebutan jawatan, kedudukan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC); syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan pelbagai institusi lain menjadi kebiasaan.

Dari situ, tambah beliau, politik wang mula berakar, dan akhirnya menyaksikan kejatuhan UMNO-Barisan Nasional (BN) pada tahun 2018.

Tegasnya, penyakit parti pemerintah itu bukan milik UMNO semata-mata, malah boleh menular kepada mana-mana parti yang memerintah, termasuk Amanah.

“Apabila berada dalam kerajaan, unsur-unsur sebagai parti pemerintah mula dirasai seperti keinginan menjadi calon; tuntutan jawatan; desakan mendapatkan tempat dalam GLC dan GLIC, serta harapan agar parti membiayai pelbagai program dan kegiatan.

“Akhirnya, pemimpin parti terpaksa berhempas-pulas mencari sumber kewangan untuk memastikan parti terus berjalan. Inilah amaran kepada kita semua,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Mohamad, sekiranya Amanah sebagai parti pemerintah gagal mengurus kewangan dan mengawal perebutan jawatan serta kedudukan, tidak mustahil parti itu akan mengalami keadaan lebih parah daripada parti-parti yang telah lama memerintah sebelum ini.

Ujarn beliau, Amanah sebenarnya lebih sukar diuji ketika memerintah berbanding ketika menjadi pembangkang.

“Godaan kuasa, harta, pangkat dan darjat jauh lebih kuat apabila kita berada dalam kerajaan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast