KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin menegaskan tidak akan meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Melaka dan jawatan Ketua Wanita PN Pusat.
Menurutnya, keputusan itu bukan didorong sebarang kepentingan peribadi, apatah lagi kerana ingin mempertahankan jawatan atau kuasa.
Sebaliknya, kata beliau, ia dibuat atas pertimbangan tanggungjawab, kestabilan organisasi serta kepentingan perjuangan PN di peringkat negeri.
Apatah lagi, ujarnya, hubungan antara kepimpinan PN Negeri Melaka khususnya bersama Pesuruhjaya Pas negeri, Zulkifli Ismail serta seluruh komponen parti berada dalam keadaan yang baik, harmoni dan saling mempercayai sama ada sebelum, semasa dan selepas isu yang berlaku di Perlis.
“Kedua, PN Melaka kini sedang berada dalam fasa persiapan penting bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri yang dijangka berlangsung dalam tempoh empat hingga enam bulan akan datang.
“Kesinambungan dan kerjasama erat kepimpinan amat penting bagi memastikan gerak kerja, penyusunan jentera dan strategi dapat berjalan dengan tersusun serta berkesan.
“Sebarang perubahan mendadak hanya berisiko melemahkan momentum yang sedang dibina bersama,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, Mas Ermieyati menyifatkan dakwaan pelantikan Pengerusi PN Negeri dan jawatan-jawatan lain terbatal secara automatik susulan peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah kurang tepat.
Jelasnya, pelantikan semua jawatan dalam PN sama ada di peringkat pusat atau negeri berdasarkan keputusan bersama Majlis Tertinggi PN melalui mesyuarat, walaupun pencalonan dibuat oleh parti komponen berdasarkan kesesuaian dan konteks setempat.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan semua pihak menghentikan sebarang polemik terbuka di media sosial yang melibatkan hubungan antara Bersatu dan Pas, khususnya berkaitan isu pertukaran Menteri Besar Perlis.
Ujarnya, polemik sebegitu tidak membawa manfaat kepada parti mahupun gabungan, malah hanya mengundang kekeliruan dan persepsi negatif dalam kalangan rakyat.
“Saya percaya rakyat sedang memerhati pertelingkahan terbuka yang seolah-olah tidak berkesudahan antara dua parti utama PN yang pasti akan menghilangkan rasa hormat dan harapan mereka untuk bersama PN sebagai pilihan kepada Kerajaan Madani yang sememangnya telah menghampakan mereka,” katanya.
Tambahnya, beliau percaya sepenuhnya segala keputusan penting wajar diserahkan kepada kebijaksanaan Mesyuarat Tertinggi PN yang akan diadakan dalam masa terdekat termasuk soal pelantikan Pengerusi baharu, hala tuju kepimpinan serta penstrukturan semula di semua peringkat.
Malah, ujarnya, beliau bersedia melepaskan kedua-dua jawatan sekiranya itu merupakan keputusan bersama yang dibuat secara matang dan berlandaskan kepentingan parti dan gabungan, bukan dibuat atas tekanan emosi atau sentimen sementara.
Ketika ini, lima daripada lapan Pengerusi PN Negeri Bersatu meletakkan jawatan masing-masing susulan keputusan dibuat Muhyiddin semalam.
Mereka ialah Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (Selangor); Datuk Dr Sahruddin Jamal (Johor); Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu (Perak); Mohamad Hanifah Abu Baker (Negeri Sembilan) dan Jaziri Alkaf Abdillah Suffian (Sarawak).
Bagaimanapun, tiga lagi pemimpin Bersatu sehingga kini masih kekal dengan jawatan masing-masing termasuk Mas Ermieyati; Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (Sabah) dan Datuk Dr Radzi Jidin (Wilayah Persekutuan). – MalaysiaGazette

















beri PAS pegang Pengerusi perikstsn Nasional Melaka barulah boleh menang PRN NEGERI ..