Mohd Zai Mustafa

 

KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh disifatkan berjaya memberi isyarat dan kesedaran kepada pemimpin UMNO dan parti politik Melayu lain berhubung kepentingan serta keperluan membentuk penyatuan orang Melayu dan umat Islam melangkaui parti politik.

Pengerusi Ummah Malaysia, Mohd Zai Mustafa berkata, beliau menyokong gesaan Dr. Muhamad Akmal supaya pemimpin Melayu menghentikan perbalahan serta perpecahan sesama sendiri.

Sebaliknya, tambah beliau, pemimpin Melayu dan Islam perlu bersatu menumpukan usaha menyelamatkan masa depan kaum, bangsa dan negara.

“Saya juga sangat bersetuju supaya penyatuan Melayu digerakkan oleh dua parti besar orang melayu iaitu UMNO dan Pas, bersama-sama parti-parti Melayu yang lain,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Semalam, ketika berucap pada Konvensyen Khas Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal menyuarakan keinginan supaya UMNO dan Pas dapat bersatu demi membentuk penyatuan orang Melayu.

Ujarnya, penyatuan itu penting bagi memastikan kekuatan politik orang Melayu dan umat Islam terus terpelihara dalam landskap politik negara yang semakin mencabar.

Sementara itu, Mohd Zai berkata, beliau yakin penyatuan antara orang Melayu dan umat Islam akan menjadi gerakan lebih besar pada masa depan dengan penyatuan parti-parti serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berasaskan kaum Melayu lain.

Sehubungan itu, beliau menggesa supaya Pemuda UMNO dan Pemuda Pas memulakan gerakan tersebut dari sekarang demi membina masa depan negara yang lebih kuat dan bermaruah.

Dalam masa sama, beliau turut menyatakan sokongan terhadap gesaan supaya UMNO keluar daripada Kerajaan Madani dan menjadi pembangkang seperti yang turut dibangkitkan pada konvensyen khas semalam.

Ini kerana, ujarnya, beberapa `garis merah’ dalam kerjasama Kerajaan Perpaduan telah dilangkaui khususnya oleh pemimpin DAP yang menuntut UMNO untuk menjadi pembangkang yang bermaruah. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast