KUALA LUMPUR – Cawangan Kawalan Amalan Perubatan Swasta (CKAPS) tidak akan mengambil tindakan terhadap mana-mana pengamal perubatan yang belum menerima Perakuan Amalan Tahunan (PAT) 2026, sekiranya permohonan dan bayaran telah dibuat sebelum atau pada 31 Disember 2025 dan masih dalam proses di sistem MeRITS.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, keputusan itu selaras dengan kenyataan rasmi Majlis Perubatan Malaysia (MPM) berhubung kelewatan pengeluaran PAT 2026, sekaligus memberi kelegaan kepada pengamal perubatan yang terkesan.
Menurutnya, dalam keadaan biasa, CKAPS boleh mengambil tindakan terhadap pengamal perubatan yang mengamal tanpa PAT yang sah di fasiliti berlesen atau berdaftar di bawah Seksyen 31(1)(c) Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 [Akta 586].
“Tindakan tersebut termasuk pengeluaran notis tunjuk sebab (NTS) atau kompaun,” katanya menerusi hantaran di laman X.
Bagaimanapun beliau menegaskan, pengecualian penguatkuasaan itu hanya terpakai khusus bagi isu kelewatan pengeluaran PAT 2026 dan tertakluk kepada syarat permohonan serta bayaran telah dikemukakan dalam tempoh ditetapkan.
MPM dan CKAPS kata Dzulkefly, akan terus memantau perkembangan proses pengeluaran PAT bagi memastikan kelancaran sistem dan pematuhan perundangan oleh semua pengamal perubatan.
Semalam, Majlis Perubatan Malaysia (MPM) memaklumkan, pengamal perubatan yang telah mengemukakan permohonan, membuat bayaran serta mematuhi syarat di bawah Seksyen 20 Akta Perubatan 1971 dan Peraturan 28 Peraturan-Peraturan Perubatan 2017 sebelum atau pada 31 Disember 2025, dibenarkan untuk terus mengamal tanpa tindakan sehingga sijil PAT 2026 dikeluarkan.
Katanya, kertas edaran bertarikh semalam (3 Januari) telah dikeluarkan berhubung perkara itu setelah mengambil kira jumlah permohonan tinggi yang masih diproses pada masa ini.
Kebenaran itu juga tertakluk kepada syarat pengamal perubatan berkenaan agar tidak dikenakan sebarang sekatan, penggantungan atau larangan amalan di bawah mana-mana peruntukan lain Akta Perubatan 1971. – MalaysiaGazette
Doktor yang masih belum terima sijil PAT dibenar mengamal – MPM
















