PUTRAJAYA – Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan semua pihak khususnya penjawat awam supaya tidak memperkecilkan atau meremehkan keperluan untuk sentiasa bersatu padu dan bermuafakat dalam memastikan kerajaan hari ini kukuh serta stabil.
Menurut Perdana Menteri, banyak pencapaian berjaya dilakar negara sepanjang tiga tahun lepas berkat keamanan negara yang dicapai hasil kesepakatan dan semangat bersatu padu dalam Kerajaan Perpaduan.
Malah, ujar beliau, banyak lagi perkara menakjubkan boleh dilakukan sekiranya semua pihak termasuk di peringkat Jemaah Menteri dan di negeri-negeri dapat bekerja sebagai sebuah pasukan yang bersatu padu, ke arah melakar hala tuju negara yang jelas.
Tambahnya, semua pihak khususnya penjawat awam tidak seharusnya terganggu dalam pemusatan kerja mereka sebaliknya sentiasa fokus kepada tekad dan cita-cita tinggi untuk memajukan negara.

“Kerana kalau kita berjaya meneruskan rekod yang dicapai tiga tahun ini, dan menuju ke hadapan dengan yakin dan bergaya, saya yakin, insya-Allah, Malaysia dalam satu dua tahun ini akan terus diangkat sebagai negara hebat di rantau ini,” katanya ketika berucap pada perhimpunan bulanan bersama warga Jabatan Perdana Menteri di sini hari ini.
Menurut Anwar, semua pihak khususnya penjawat awam juga tidak boleh terpesong atau tergugat dengan sentimen berteraskan kaum atau agama.
Jelasnya, sentimen sedemikian tidak boleh diizinkan mengalih pandangan semua pihak daripada teras; tonggak kekuatan dan hala tuju dalam memajukan negara.
“Kita harus membuat pilihan sama ada mahu mengangkat negara ini sebagai negara hebat, menyatukan semua rakyat pelbagai kaum, menenggelam dan memadamkan sentimen yang boleh menghakis kekuatan kita, atau remuk berkecai seperti yang berlaku di negara-negara lain,” katanya.
Tegas Anwar, semua pihak mengetahui bahawa negara ini terikat dengan prinsip Perlembagaan termasuk tentang peranan bahasa; budaya dan keistimewaan bumiputera.
Namun, ujarnya, ia tidak boleh digunakan sebagai alasan untuk menyebabkan sebahagian rakyat berasa terpinggir.
“Pertahankan kekuatan ada kerjasama sebaik-baiknya untuk mendapat keberkatan daripada Allah SWT.
“Saya percaya tahun ini kita dapat terus mencatat kemajuan lebih baik dengan syarat kita sentiasa menjamin keamanan dan membina keutuhan dan kesatuan, serta bekerja dengan bersungguh-sungguh,” katanya. – MalaysiaGazette
















