Polis menahan tiga individu termasuk seorang wanita selepas dipercayai memiliki senjata api dan peluru tanpa lesen dalam satu serbuan di sebuah rumah di Bemban, semalam.

JASIN – Polis menahan tiga individu termasuk seorang wanita selepas dipercayai memiliki senjata api dan peluru tanpa lesen dalam satu serbuan di sebuah rumah di Bemban, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Jasin, Superintendan Lee Robert berkata, serbuan kira-kira jam 5.30 petang dilakukan sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin hasil maklumat dan risikan.

“Pemeriksaan di rumah terbabit menemui satu senjata api bersama beberapa jenis peluru yang diletakkan di atas meja di bawah garaj dalam kawasan kediaman tersebut.

“Susulan itu, polis menahan dua lelaki masing-masing berusia 54 dan 45 tahun, selain seorang wanita berusia 22 tahun turut diberkas,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.

Polis menahan tiga individu termasuk seorang wanita selepas dipercayai memiliki senjata api dan peluru tanpa lesen dalam satu serbuan di sebuah rumah di Bemban, semalam.

Beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati lelaki berusia 54 tahun mempunyai hubungan kekeluargaan dengan wanita terbabit iaitu sebagai bapa saudara, manakala seorang lagi lelaki adalah rakan kepada suspek utama.

“Hasil semakan rekod lampau mendapati kedua-dua suspek lelaki masing-masing mempunyai tiga dan tujuh rekod jenayah serta kes berkaitan dadah.

“Antara barangan yang dirampas ialah selaras senjata api jenis shotgun (senapang patah), satu penghadang tangan senjata api, satu tali pinggang peluru dan satu sarung senjata api,” tambahnya.

Lee berkata, turut dirampas adalah 10 butir kelongsong peluru jenis 12 bore berwarna putih serta beberapa butir kelongsong peluru 12 bore berwarna merah, hijau dan coklat.

“Ketiga-tiga suspek direman selama tiga hari sehingga 7 Januari ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960.

“Jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya sekali,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast