Datuk Fahmi Fadzil

KUALA LUMPUR – Pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim disifatkan bukan sekadar langkah meredakan keperluan semasa rakyat dan sektor perniagaan, sebaliknya mencerminkan usaha kerajaan untuk membina legasi reformasi institusi yang berkekalan.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, tempoh pentadbiran kerajaan ketika ini memberi isyarat jelas pandangan pelbagai pihak termasuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta parti-parti politik, telah dihadam, diteliti dan diambil tindakan.

Menurutnya, banyak pengumuman yang dibuat diyakini dapat diterima baik khususnya oleh sektor perniagaan selain memberi kesan positif kepada bidang pendidikan.

“Kalau kita lihat dari segi pendidikan, banyak pengumuman bukan hanya daripada segi peningkatan peruntukan untuk setiap jenis sekolah, tapi juga beberapa kelulusan yang mempercepat proses untuk memperbaiki struktur-struktur infrastruktur sekolah. 

“Dari segi kontraktor G1 hingga G4, beberapa perkara dipermudah dan kita percaya ini akan dapat membantu,” katanya ketika ditemui ketika hadir pada Majlis Perhimpunan Bulanan Perdana Menteri Bersama Warga Jabatan Perdana Menteri dan Amanat Tahun 2026 di sini hari ini.

Mengulas pengumuman berkaitan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) serta pelaksanaan e-Invois, Fahmi berkata, langkah itu memberi kelegaan dan menjadi isyarat kerajaan mendengar pandangan sektor perniagaan bagi memastikan ekosistem perniagaan negara kekal mampan dan berdaya saing.

Katanya, perkembangan itu turut diharap dapat memberi kesan positif kepada keseluruhan pendapatan syarikat sekali gus membuka ruang pulangan yang lebih baik kepada para pekerja, termasuk dalam kalangan ahli PMKS.

“Pengumuman Perdana Menteri berkaitan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) bulanan, SARA untuk semua dan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) fasa satu, saya percaya melegakan dan kita akan berusaha pastikan maklumat ini sampai kepada semua penerima dalam masa terdekat. 

“Perdana Menteri menyatakan lebih kurang 96 peratus penerima SARA Untuk Semua telah menebus jumlah itu. Mekanisme menggunakan MyKad adalah sangat efisien, tepat dan boleh mengurangkan ketirisan,” jelasnya.

Dalam pada itu, Fahmi berkata, pengumuman empat rang undang-undang utama mencerminkan hala tuju reformasi institusi kerajaan yang akan membentuk legasi pentadbiran Perdana Menteri.

Empat rang undang-undang berkenaan melibatkan kebebasan maklumat, pembaharuan institusi, pemisahan peranan Pendakwa Raya dan Peguam Negara, serta had tempoh jawatan Perdana Menteri kepada dua penggal atau 10 tahun.

Menurutnya, rang undang-undang tersebut dijangka dibentangkan pada sidang Parlimen bermula 19 Januari ini dengan beberapa daripadanya berpotensi dibawa untuk kelulusan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast