Timbalan Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR) merangkap Ahli Majlis Pimpinan Pusat, Sivamalar Genapathy.

KUALA LUMPUR – Timbalan Setiausaha Agung Keadilan, Sivamalar Genapathy mengalu-alukan pengumuman Perdana Menteri,  Datuk Seri Anwar Ibrahim yang disifatkan sebagai bukti agenda reformasi  masih utuh.

Malah ia kini dipercepatkan pelaksanaannya di bawah kepimpinan kerajaan Madani.

Menurut beliau, dakwaan kononnya Perdana Menteri telah meninggalkan janji reformasi dan manifesto Pakatan Harapan (PH) adalah tidak berasas serta bercanggah dengan komitmen jelas yang diumumkan dalam perutusan tersebut.

“Selama ini ada pihak mendakwa reformasi sudah mati atau diketepikan. Hakikatnya, reformasi tidak pernah ditinggalkan sebaliknya dilaksanakan secara berhati-hati dalam realiti kerajaan perpaduan dan kini memasuki fasa pelaksanaan yang lebih tegas dan tersusun,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sivamalar berkata, antara pengumuman paling penting ialah cadangan pembentangan rang undang-undang bagi mengehadkan tempoh jawatan perdana menteri kepada maksimum 10 tahun atau dua penggal selaras dengan janji Pakatan Harapan (PH) sejak sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) lagi.

“Ini adalah satu keputusan penting yang pada saya belum ada siapa berani umum selama ini. Langkah ini penting bagi mengelakkan penumpuan kuasa secara berlebihan serta memastikan pembaharuan kepimpinan.

“Ini termasuk cadangan memperluaskan prinsip sama kepada jawatan utama lain seperti Ketua Setiausaha Negara,” ujarnya.

Menurut Sivamalar, keputusan kerajaan menjadikan pemisahan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya sebagai rang undang-undang pertama yang akan dibentangkan di Parlimen tahun ini turut membuktikan kesungguhan kerajaan memperkukuh kebebasan institusi dan integriti sistem keadilan.

Beliau berkata pembentangan Rang Undang-Undang Kebebasan Maklumat (FOIA) dan Rang Undang-Undang Ombudsman Malaysia, selain penambahbaikan imbuhan kehakiman serta pendigitalan perkhidmatan awam, menunjukkan Reformasi sedang diterjemahkan secara nyata melalui kerangka undang-undang.

Sementara itu, dalam aspek kebajikan rakyat, Sivamalar berkata, kerajaan menyeimbangkan reformasi institusi dengan bantuan langsung kepada rakyat termasuk Sumbangan Tunai Rahmah (STR), Sumbangan Asas Rahmah (SARA), peningkatan peruntukan penyelenggaraan sekolah serta kebajikan pelajar dan mahasiswa.

Beliau berkata, langkah meningkatkan peruntukan penyelenggaraan sekolah bagi semua aliran termasuk sekolah kebangsaan, SJKC, SJKT dan sekolah agama mencerminkan komitmen kerajaan memastikan persekitaran pembelajaran yang selamat dan selesa untuk generasi masa depan.

“Bantuan Awal Persekolahan sebanyak RM150 kepada setiap pelajar melibatkan peruntukan RM800 juta serta peruntukan RM15 juta bagi program Bank Makanan Dapur Siswa membuktikan kerajaan ini amat memahami tekanan kos sara hidup yang dihadapi keluarga dan mahasiswa,” tegasnya.

Pada masa sama, Sivamalar mengulas kenyataan Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim yang mendakwa rakyat tidak berminat dengan inisiatif dan insentif kerajaan sebaliknya lebih tertumpu kepada isu penyatuan Muafakat Nasional dan politik negeri Perlis.

“Ia merupakan satu penghinaan kepada rakyat Malaysia apabila tokoh pembangkang tertentu seperti Shahidan Kassim memperlekehkan usaha reformasi ini dengan mendakwa kononnya rakyat lebih berminat kepada penyusunan politik seperti Muafakat Nasional (MN)  berbanding pembaharuan institusi.

“Kenyataan sedemikian bukan analisis politik sebaliknya satu bentuk pengelakan politik bila ahli politik gagal menawarkan reformasi, dasar atau penyelesaian kepada masalah rakyat, mereka akan kembali kepada politik perkauman, pakatan lama dan slogan kitar semula.

“Apabila mereka tidak mampu mempertahankan rasuah, penyalahgunaan kuasa atau kerosakan institusi, mereka memilih untuk mengalihkan perhatian,” tegasnya.

Sambung beliau, MN bukan jawapan kepada kos sara hidup malah tidak mampu memperkukuh badan kehakiman, tidak melindungi dana awam dan tidak menjamin keadilan kepada rakyat biasa.

Sivamalar berkata, rakyat kini semakin muak dengan politik lama yang meminggirkan keperluan seharian mereka dan menggesa semua pihak menghentikan naratif sempit yang tidak membawa manfaat kepada rakyat.

“Rakyat mahukan penyelesaian dan dasar yang memberi kesan langsung kepada kehidupan mereka, bukan politik sempit. Hentikanlah,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast