GEORGE TOWN – Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow menyifatkan pengumuman kerajaan membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) bagi mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada tidak melebihi dua penggal atau 10 tahun merupakan langkah reformasi institusi yang penting dalam memperkukuh amalan demokrasi negara.
Beliau berkata, langkah itu bukan sahaja memastikan tadbir urus negara dilaksanakan dengan lebih telus dan berintegriti malah menegaskan, komitmen Kerajaan Madani untuk menunaikan janji memperkukuh agenda reformasi demi memastikan kemakmuran negara dapat dinikmati oleh semua.
“Saya menyambut baik pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa Kerajaan Perpaduan akan membentangkan rang undang-undang (RUU) bagi mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri tidak melebihi 10 tahun atau dua penggal penuh.
“Pembaharuan berkenaan juga selari dengan langkah Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang menjadi negeri pertama dalam negara melaksanakan had tempoh lantikan Ketua Menteri kepada dua penggal selepas pindaan Perlembagaan Negeri diluluskan pada 16 November 2018.
“Saya juga percaya langkah mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri itu mencerminkan aspirasi rakyat yang mahukan sistem pentadbiran negara berjalan dengan lebih telus, berakauntabiliti dan bebas daripada penyalahgunaan kuasa, di samping menggalakkan proses peralihan kuasa yang sihat berteraskan prinsip semak dan imbang,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan Rang Undang-Undang (RUU) bagi mengehadkan jawatan Perdana Menteri kepada hanya 10 tahun atau dua penggal penuh akan dibentangkan di Parlimen tahun ini.
Menurut Perdana Menteri, turut dibentangkan pada sidang Parlimen tahun ini adalah RUU pemisahan kuasa antara Peguam Negara dan Pendakwa Raya; Ombudsman dan Akta Kebebasan Maklumat (FoI). – MalaysiaGazette
















