Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berucap pada Majlis Amanat Tahun Baharu KKDW 2026 di Putrajaya. Foto SADIQ SANI, 06 JANUARI 2026

PUTRAJAYA – Cadangan mengehadkan tempoh perkhidmatan Perdana Menteri tidak melebihi 10 tahun atau dua penggal disifatkan sebagai langkah reformasi institusi paling signifikan yang berupaya merombak landskap politik serta tadbir urus negara.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, cadangan berkenaan dicetuskan sendiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam mesyuarat Kabinet khas semalam.

“Ini adalah merupakan satu game changer yang pada khidmat saya, kita tidak mahu supaya seseorang Perdana Menteri itu terlalu lama.

“Maksudnya overstay his or her welcome. Baik mana pun kalau terlalu lama ini akan menimbulkan kesan kelesuan kuasa,” katanya pada sidang media sempena Amanat Tahun Baharu di Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) di sini hari ini.

Anwar semalam memaklumkan satu Rang Undang-Undang (RUU) bagi mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada tidak melebihi 10 tahun atau dua penggal penuh akan dibentangkan pada sesi Parlimen kali ini.

RUU berkenaan merupakan antara empat perundangan baharu yang akan menjadi hala tuju utama Parlimen tahun ini selari dengan agenda reformasi institusi Kerajaan Madani.

Ia bukan sahaja melibatkan jawatan Perdana Menteri malah turut merangkumi jawatan utama lain termasuk Ketua Setiausaha Negara (KSN) yang juga akan dihadkan kepada tempoh maksimum 10 tahun selain terpakai kepada struktur di Jabatan Perdana Menteri.

Menurut Ahmad Zahid, cadangan tersebut telah mendapat persetujuan penuh semua anggota Jemaah Menteri tanpa sebarang bantahan sekali gus mencerminkan kesepakatan politik di peringkat tertinggi kerajaan.

Beliau menegaskan, langkah itu bukan bersifat kosmetik atau simbolik semata-mata sebaliknya membawa implikasi besar terhadap struktur kuasa, akauntabiliti dan kesinambungan kepimpinan negara.

Ahmad Zahid berkata, tempoh kepimpinan yang terlalu panjang, walaupun disandang oleh pemimpin berprestasi baik tetap berisiko menjejaskan keberkesanan pentadbiran serta persepsi rakyat terhadap kerajaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast