Pengarah SPRM Pahang, Mohd Shukor Mahmud (kiri) menyampaikan cenderahati kepada Ketua Hakim Syarie Pahang, Dato’ Abdul Walid Abu Hassan (tengah) ketika mengadakan kunjungan hormat di Indera Mahkota Pahang, semalam.

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pahang komited menjalinkan hubungan sebagai rakan strategik semua institusi kehakiman dalam usaha pencegahan rasuah dan pengukuhan integriti di negeri itu.

Terdahulu, SPRM Pahang mengadakan kunjungan hormat ke atas Ketua Hakim Syarie Pahang, Datuk Abdul Walid Abu Hassan di pejabatnya di Kompleks Syariah Al-Sultan Abdullah, Bandar Indera Mahkota, Kuantan semalam.

Pengarah SPRM Pahang, Mohd Shukor Mahmud berkata, kunjungan hormat itu diharap dapat memperkukuh lagi hubungan silaturahim serta membuka ruang kerjasama yang lebih erat demi kepentingan agama, bangsa dan negara.

Kunjungan itu bertujuan mengeratkan jalinan kerjasama antara SPRM Pahang dan Jabatan Kehakiman Syariah Pahang khususnya dalam usaha memperkukuh integriti, tadbir urus yang baik serta pencegahan rasuah dalam pentadbiran dan perkhidmatan awam.

Dalam pertemuan itu, kedua-dua pihak bertukar pandangan mengenai peranan dan tanggungjawab institusi masing-masing dalam menegakkan keadilan, keluhuran undang-undang serta nilai-nilai integriti berlandaskan prinsip syariah dan perundangan negara.

Perbincangan turut menyentuh aspek kerjasama strategik daripada sudut pendidikan, pendedahan serta kesedaran mengenai integriti kepada warga kerja kehakiman dan masyarakat umum.

Sementara itu, Abdul Walid merakamkan penghargaan atas kunjungan tersebut dan menyambut baik usaha SPRM Pahang dalam memperkukuh budaya integriti serta memerangi rasuah.

Beliau turut menzahirkan komitmen Jabatan Kehakiman Syariah Pahang untuk terus bekerjasama dengan agensi penguatkuasaan dalam memastikan sistem penyampaian keadilan dilaksanakan secara telus dan berkesan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast