Karen Kasturi

KUALA LUMPUR – Sekolah di seluruh negara dijangka menerima peruntukan penyelenggaraan dan naik taraf yang lebih besar tahun ini dengan fokus memperkukuh persekitaran pembelajaran yang selesa dan kondusif untuk murid.

Menurut Naib Bendahari dan Ahli Exco Wanita Pusat Keadilan, Karen Kasturi, antara 2025 dan 2026, peruntukan bagi sekolah agama meningkat sebanyak 33 peratus daripada RM150 juta ke RM200 juta, SJKC naik 60 peratus daripada RM50 juta ke RM80 juta.

Manakala SJKT mencatat peningkatan tertinggi iaitu 67 peratus daripada RM30 juta ke RM50 juta.

“Ini bukan sekadar angka atau statistik sebaliknya komitmen kerajaan dalam memastikan kemudahan sekolah yang baik dan selesa memberi impak langsung kepada pengalaman pembelajaran harian murid.

“Bilik darjah yang kondusif, kemudahan asas yang terjaga dengan baik, serta persekitaran sekolah yang menyokong akan membolehkan pelajar belajar dengan lebih fokus, yakin dan bersemangat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Karen, inisiatif itu sejajar dengan amanat Tahun Baharu Perdana Menteri 2026 yang menekankan kepentingan pendidikan inklusif dan memastikan tiada murid ketinggalan.

Jelasnya, peruntukan tambahan itu menunjukkan keutamaan kerajaan dalam memperkukuh persekitaran pembelajaran di semua aliran sekolah dan komuniti tanpa mengira latar belakang.

Beliau menekankan kejayaan pelaksanaan program ini bergantung pada koordinasi yang berkesan dan garis panduan jelas, terutamanya bagi sekolah yang paling memerlukan.

“Jelas tentang skop kerja yang layak termasuk elemen pemantauan dan keselamatan akan membantu sekolah merancang dengan lebih berkesan, memastikan peruntukan digunakan dengan optimum dan manfaatnya dapat dirasai sepenuhnya oleh murid,” ujarnya.

Selain itu, Karen menyeru pihak sekolah agar menyusun keutamaan projek penyelenggaraan dan naik taraf berdasarkan keperluan sebenar di lapangan.

Menurut beliau, sekolah dengan kemudahan asas yang uzur atau rosak harus diberi tumpuan segera supaya pelajar dapat belajar dalam suasana yang selamat dan kondusif.

“Inisiatif ini juga memberi peluang kepada komuniti, ibu bapa, dan guru untuk lebih terlibat dalam memastikan sekolah terus menjadi ruang pembelajaran yang efektif dan menyeronokkan.

“Apabila murid selesa dan guru dibantu dengan kemudahan yang baik, prestasi akademik serta pembangunan holistik anak-anak akan lebih mudah dicapai,” tambahnya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast