Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Seri Saifuddin Abdullah.

KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Datuk Seri Saifuddin Abdullah mengesahkan telah dipecat daripada parti itu berkuat kuasa 6 Januari 2026.

Saifuddin berkata, notis pemecatan diterima daripada Lembaga Disiplin Bersatu atas alasan melanggar Fasal 9.1.4 Perlembagaan parti.

Susulan keputusan itu, beliau akan mengambil tindakan susulan untuk membela diri.

“Saya akan mengemukakan rayuan kepada Lembaga Rayuan dalam masa terdekat. Pemecatan ini dipercayai berpunca daripada enam aduan disiplin, antaranya dakwaan mengeluarkan kenyataan mencemarkan imej parti, menyerang Presiden, serta mendesak Tan Sri Muhyiddin Yassin meletak jawatan dan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali digugurkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

kenyataan dari Datuk Seri Saifuddin Abdullah

Menjelaskan proses sebelum pemecatan itu, Saifuddin  telah menghadiri sesi perjumpaan bersama Lembaga Disiplin pada 6 November 2025 dan mengemukakan tiga tuntutan utama namun tidak mendapat jawapan memuaskan.

“Saya telah menuntut dua Ahli Jawatankuasa Lembaga Disiplin iaitu Datuk Mohammed Radzi Manan (Pengerusi) dan Sasha Lyna Abdul Latif mengundurkan diri atas alasan wujud konflik kepentingan (conflict of interest).

“Mohammed Radzi adalah bapa mentua kepada Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu manakala Sasha Lyna bekerja di bawah Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

“Hubungan ini menimbulkan risiko terhadap ketelusan proses pengadilan,” katanya.

Selain itu, Saifuddin turut menuntut Lembaga Disiplin agar memanggil Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk memberi penjelasan dalam sesi perjumpaan tersebut bagi menjawab isu-isu berkaitan pertuduhan ke atasnya.

“Ini kerana pendakwaan terhadap saya melibatkan pertuduhan bahawa saya, antara lain, ‘mencadangkan Tan Sri Presiden meletakkan jawatan, maka terdapat beberapa persoalan yang akan saya bangkitkan di hadapan Lembaga Disiplin.

“Persoalan-persoalan ini hanya boleh dijawab oleh Muhyiddin sebagai Presiden Bersatu dan bukannya oleh pengadu, penyiasat, pendakwa saya atau pun Lembaga Disiplin,” katanya.

Menurut Saifuddin lagi, ia amat penting untuknya mendapatkan kepastian bahawa penyiasat, pihak yang membuat pendakwaan dan Ahli Jawatankuasa Lembaga Disiplin yang akan memutuskan nasib saya adalah tiga pihak yang berbeza.

“Ini bagi memastikan saya mendapat keadilan yang sewajarnya. Mohd Radzlan sebelum ini menjawab bahawa Lembaga Disiplin tidak memisahkan tugas-tugas tersebut.

“Proses pengadilan Lembaga Disiplin tidak adil kerana pihak yang menyiasat, mendakwa dan membuat keputusan adalah terdiri daripada individu yang sama sekali gus melanggar prinsip natural justice,” katanya lagi.

Semalam, Lembaga Disiplin Bersatu dalam satu kenyataan memutuskan memecat keahlian Saifuddin berkuat kuasa serta-merta. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Saifuddin Abdullah pula dipecat Bersatu

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast