KUANTAN – Tiga lelaki warganegara Kemboja dihukum penjara sembilan bulan oleh Mahkamah Sesyen Kuantan hari ini selepas mengaku bersalah mengawal hasil hutan jenis gaharu secara tidak sah.
Nget Koy, 41; Toek Tan, 49 dan Sin Sor, 60 membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Sazlina Safie selepas kertas pertuduhan mengikut Seksyen 84 (1) Akta Perhutanan Negara 1984 (Akta 313) dibacakan jurubahasa dalam bahasa Kemboja.
Mengikut pertuduhan, ketiga-tiga mereka didakwa secara bersama mengawal hasil hutan jenis gaharu seberat anggaran 16.55 kilogram (kg) yang tidak dibayar royalti, premium dan ses hasil hutan di sebuah rumah di Taman Chendor Darat 1, di sini pada 13 Oktober 2025 kira-kira jam 11.15 pagi.
Berdasarkan fakta kes yang dibacakan jurubahasa, sepasukan renjer hutan menemukan ketiga-tiga mereka berada di rumah berkenaan pada tarikh itu sedang membersihkan hasil hutan tersebut.
Ketika kejadian, ketiga-tiga mereka memberitahu pihak berkuasa mereka membersihkan kayu gaharu terbabit atas arahan majikannya iaitu seorang lelaki yang merupakan pemilik hasil hutan itu.
Timbalan Pendakwa Raya Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia, Muhammad Shahrezal Mohd Shukri memohon mahkamah mengenakan hukuman pemenjaraan dan barang kes dilucut hak kepada Kerajaan Negeri Pahang.
Katanya, tindakan itu sebagai pengajaran agar ketiga-tiga mereka yang merupakan warganegara asing lebih cakna dengan undang-undang dan kesalahan yang dilakukan adalah berkaitan salah guna hasil hutan di negeri Pahang.

Dalam rayuannya, Nget Koy memohon Hakim Sazlina mengenakan hukuman ringan terhadapnya memandangkan dia perlu menanggung seorang isteri dan tiga orang anak.
Begitu juga dengan Toek Tan yang merayu agar hukuman diringankan terhadapnya kerana dia masih menanggung keluarga iaitu seorang ibu yang uzur, seorang isteri dan dua orang anak.
Sin Sor juga merayu agar hukuman ringan dikenakan mahkamah memandangkan dia menyara seorang ibu yang sedang uzur, isteri dan empat orang anak.
Hakim Sazlina kemudian memutuskan hukuman penjara selama sembilan bulan berkuatkuasa bermula tarikh tangkapan terhadap ketiga-tiga mereka, selain semua barang kes dilucut hak kepada Kerajaan Negeri Pahang. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN
















