KUANTAN – Seorang lelaki didenda RM15,000 oleh Mahkamah Sesyen Kuantan hari ini selepas mengaku bersalah memiliki hasil hutan secara tidak sah.
Hanafi Rafae, 41 membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Sazlina Safie selepas kertas pertuduhan mengikut Seksyen 84 (1) Akta Perhutanan Negara 1984 (Akta 313) dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa memiliki hasil hutan iaitu jenis gaharu anggaran berat 5.75 kilogram (kg) yang tidak dibayar royalti, premium dan ses hasil hutan di sebuah rumah di Taman Chendor Darat 1, di sini pada 13 Oktober 2025 kira-kira jam 11.15 pagi.

Menurut fakta kes, sepasukan renjer hutan menemukan tiga lelaki warganegara asing sedang berada di rumah berkenaan pada tarikh tersebut sedang membersihkan hasil hutan itu atas arahan Hanafi yang merupakan pemilik kayu gaharu terbabit.
Ketika kejadian, isteri tertuduh turut ditemukan di rumah sewa itu manakala tertuduh yang merupakan bapa kepada lima orang anak itu berada di Kuala Terengganu atas urusan kerja.
Pemeriksaan lanjut di premis itu seterusnya membawa kepada rampasan 16.55 kg kayu gaharu, empat gergaji berantai, satu penimbang digital selain lima peralatan kerja pembersihan.
Timbalan Pendakwa Raya Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia, Muhammad Shahrezal Mohd Shukri memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada masyarakat selain barang kes dilucut hak kepada kerajaan negeri Pahang.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam pula merayu agar hukumannya diringankan kerana dia masih menanggung seorang isteri, lima orang anak yang masih bersekolah serta kedua ibu bapa yang sudah uzur.
Hakim Sazlina Safie kemudian mengenakan denda RM15,000 atau penjara tiga bulan jika tertuduh gagal membayar denda, selain semua barang kes diserah kepada pihak pendakwaan untuk tindakan lanjut. – MalaysiaGazette
















