MELAKA – Seorang tukang rumah warga Indonesia dikenakan enam saman selepas ditahan dalam Operasi Pemandu Warga Asing (Op Pewa) Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka di sekitar Melaka Raya, di sini semalam.
Pengarah JPJ Melaka, Siti Zarina Mohd Yusop berkata, semakan mendapati lelaki berusia lingkungan 30-an itu menunggang motosikal tanpa lesen memandu sah, lesen kenderaan motor dan insurans tamat tempoh, serta beberapa kesalahan teknikal lain.

“Sebahagian daripada enam saman itu turut dikeluarkan kepada majikannya, selain motosikal tersebut turut disita untuk tindakan lanjut.
“Lelaki itu adalah lapan warga Indonesia serta masing-masing seorang warga Syria, Myanmar dan Bangladesh berusia antara 30 hingga 40-an yang ditahan atas pelbagai kesalahan,” katanya pada sidang media di JPJ Melaka, Bukit Katil, hari ini.

Siti Zarina (kanan) melihat motosikal yang disita dalam Operasi Pemandu Warga Asing Jabatan Pengangkutan Jalan Melaka di JPJ Melaka, Bukit Katil, hari ini.
Menurutnya, sepanjang operasi berkenaan, sebanyak 55 kenderaan diperiksa, dengan 11 kenderaan diambil tindakan manakala 43 notis kesalahan dikeluarkan mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333).
“Sebanyak 11 kenderaan turut disita melibatkan sembilan motosikal, sebuah kereta jenis Naza Ria serta sebuah pikap Mitsubishi Triton.
“Tiga kesalahan utama dikesan iaitu tiada lesen memandu, Lesen Kenderaan Motor tamat tempoh dan ketiadaan perlindungan insurans,” jelasnya. – MalaysiaGazette
















