KUANTAN – Tiga pemilik bersama sebuah syarikat pemborong barangan runcit boleh dikenakan hukuman denda sehingga RM1 juta atau penjara sehingga tiga tahun setiap seorang jika didapati bersalah atas dakwaan gagal menyelenggara buku stok barang berjadual iaitu minyak masak peket satu kilogram (kg).
Syarikat terbabit juga berdepan denda sehingga RM2 juta jika didapati bersalah atas dakwaan tersebut.
Maliki Mamat, 56; Monir Hossain Razuddin Mollah, 54 dan Nuzulakhma Ismail, 41, masing-masing selaku Orang Kena Saman (OKS) bagaimanapun membuat pengakuan tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Sazlina Safie.
Mengikut pertuduhan, ketiga-tiga mereka didakwa gagal menyelenggara buku stok yang mana tidak mengandungi maklumat berkaitan tarikh, kuantiti, harga, nama dan alamat penjual atau pembeli bagi setiap pembelian atau penjualan barang berjadual iaitu minyak masak peket satu kg.
Kesalahan tersebut didakwa dilakukan pemilik syarikat Profit Dynamic Development Sdn Bhd itu di premis perniagaan mereka di Sungai Ular Damai di sini pada 20 Jun 2024 kira-kira 12.13 tengah hari.
Oleh itu, ketiga-tiga mereka didakwa telah melanggar Peraturan 13 (1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 yang merupakan suatu kesalahan di bawah Peraturan 21 (1) Peraturan-Peraturan yang sama dan boleh dihukum di bawah Seksen 22 (1) Akta sama.
Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa Raya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pahang, Nor Amri Mohamad Nawi manakala ketiga-tiga OKS diwakili Peguam, Muthu Kumar Suya Kumanan.
Hakim Sazlina menetapkan wang jaminan sebanyak RM2,000 bersama seorang penjamin bercagar bagi setiap seorang dan tarikh 12 Februari 2026 bagi sebutan semula.
Sementara itu, wang jaminan sejumlah RM5,000 bersama seorang penjamin bercagar turut dikenakan ke atas syarikat Profit Dynamic Development Sdn Bhd yang diwakili Monir Hossain Razuddin Mollah. – MalaysiaGazette
















