YDPA terima menghadap Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop), Steven Sim Chee Keong, dalam satu pertemuan di Istana Bukit Tunku di sini hari ini.

KUALA LUMPUR – Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) perlu terus diperkasa dan kekal berdaya saing bagi memastikan pertumbuhan ekonomi rakyat yang mampan serta berdaya tahan, titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.

Seri Paduka Baginda bertitah demikian ketika berkenan menerima menghadap Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop), Steven Sim Chee Keong, dalam satu pertemuan di Istana Bukit Tunku di sini hari ini.

“PKS merupakan antara tunjang utama dalam usaha meningkatkan ekonomi rakyat, di samping memainkan peranan penting dalam mewujudkan peluang pekerjaan serta menjana pendapatan isi rumah,” titah baginda.

Menurut Sultan Ibrahim, sokongan yang konsisten dan berterusan daripada kerajaan serta agensi berkaitan amat penting bagi membantu PKS menyesuaikan diri dengan perubahan ekonomi ketika ini.

Ini termasuk cabaran kos, teknologi dan pasaran global, sekali gus memastikan sektor itu kekal berdaya saing dan mampan dalam jangka panjang.

Dalam sesi menghadap tersebut, Seri Paduka Baginda turut berkenan dipersembahkan taklimat mengenai perancangan dan hala tuju Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi termasuk pelbagai inisiatif bagi memperkasa perusahaan mikro, kecil dan sederhana di seluruh negara.

Pertemuan itu turut menyentuh usaha memperkukuh ekosistem keusahawanan, meningkatkan akses pembiayaan serta memperluas peluang pasaran bagi PKS sebagai pemacu utama ekonomi negara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast