Antara 171 PATI yang ditahan Imigresen dalam Operasi Penguatkuasaan Bersepadu di kawasan industri dan tapak pembinaan sekitar Semenyih dan Sungai Long, Selangor semalam.

KUALA LUMPUR – Padah menggajikan pekerja pendatang asing (PATI), seramai 171 individu ditahan menerusi Operasi Penguatkuasaan Bersepadu di kawasan industri dan tapak pembinaan sekitar Semenyih dan Sungai Long dekat sini semalam.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, seramai 216 individu telah diperiksa terdiri daripada 186 warga asing dan 27 warga tempatan yang dilakukan berdasarkan aduan awam dan risikan Bahagian Penguatkuasaan, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya selama dua minggu.

“Hasil pemeriksaan, seramai 171 individu terdiri dari warga Bangladesh, Myanmar, India, Nepal dan Indonesia berusia di antara 29 hingga 50 tahun telah ditahan,” katanya dalam kenyataan.

Kesemua tangkapan disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155), Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) dan Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963.

Tambah Zakaria, operasi itu turut melibatkan seramai 110 pegawai pelbagai pangkat selain dibantu pegawai daripada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN dan Jabatan Tenaga Kerja (JTK).

“Agensi penguat kuasa lain turut mengeluarkan tiga kompaun berjumlah RM15,000 dan satu saman RM500 terhadap syarikat terbabit kerana telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 30(1)(b), Akta Syarikat 2016 dan Kaedah 17A(2), Peraturan Pendaftaran Perniagaan 1957.

“Semasa operasi dijalankan, sebanyak lima Borang 29 (Saman kepada Saksi) telah dikeluarkan kepada rakyat Malaysia bagi membantu siasatan dan kesemua PATI telah ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Semenyih bagi siasatan serta tindakan lanjut,” ujarnya.

Antara majikan yang diperiksa Imigresen dalam Operasi Penguatkuasaan Bersepadu di kawasan industri dan tapak pembinaan sekitar Semenyih dan Sungai Long, Selangor semalam.

Tegas beliau, JIM tidak akan berkompromi sama sekali terhadap warganegara asing yang tinggal secara haram, tinggal lebih masa dan menyalah guna pas di negara ini selain akan mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang menggaji dan melindungi PATI. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast