KUALA LUMPUR – Seorang pemancing terkejut selepas menemukan mayat seorang wanita warga emas yang terapung di sebuah kolam tadahan air hujan di Seksyen U11, Shah Alam pada Selasa lepas.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Ramsay Embol berkata, pihaknya menerima laporan mengenai penemuan mayat daripada lelaki itu kira-kira pukul 11.30 pagi, pada hari sama.
Menurutnya, sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam bersama Pasukan Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor telah digerakkan ke lokasi kejadian bagi menjalankan siasatan awal dan membawa keluar mayat mangsa.
“Hasil pemeriksaan awal mendapati mangsa merupakan seorang perempuan Melayu, warga tempatan, berusia lingkungan 70an dan dipercayai salah seorang penduduk yang tinggal di taman perumahan berhampiran lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pemeriksaan lanjut mendapati mangsa dianggarkan telah meninggal dunia lebih daripada 48 jam sebelum mayatnya ditemui.
Tambahnya, pada hari yang sama kira-kira pukul 6 petang, pihak polis telah dihubungi oleh ahli keluarga mangsa yang memaklumkan bahawa wanita tersebut adalah kakak mereka dan tinggal bersendirian di kawasan berhampiran kolam tadahan berkenaan.
“Proses bedah siasat telah dijalankan pada semalam kira-kira pukul 9 pagi di Hospital Shah Alam dan turut dihadiri oleh ahli keluarga bagi tujuan pengecaman. Identiti mangsa telah disahkan dan jenazah telah dituntut oleh keluarga,” katanya.
Menurut Mohd Ramsay, pihaknya sedang menunggu laporan lengkap makmal bagi mengenal pasti punca kematian mangsa dan kes ketika ini diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut (SDR) sementara siasatan lanjut masih diteruskan.
Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Izzman Mohd Idrus di talian 013-400 3355 bagi membantu siasatan. – MalaysiaGazette
















