KUALA LUMPUR – Mereka yang dipanggil menghadap Lembaga Disiplin (LD) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) wajar menerima panggilan itu dengan penuh tanggungjawab dan kerelaan.
Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz berkata, mereka tidak perlu beranggapan seolah-olah menjadi mangsa (play victim) kerana tindakan yang diambil adalah hasil daripada pilihan sendiri, selain semestinya mengetahui dan memahami implikasinya sejak awal lagi.
Berhubung kes di Perak, jelas beliau, individu yang dipanggil menghadap LD itu atas dakwaan pelanggaran Perlembagaan Parti serta Kod Etika dan Tatakelakuan Ahli Parti susulan terlibat dalam sidang akhbar di Ipoh, pada 10 Disember lalu.
Menurutnya, panggilan itu adalah berdasarkan tindakan dan kenyataan yang dibuat oleh individu-individu berkenaan, dan tidak mempunyai kaitan dengan mana-mana individu lain.
Tegas beliau, sebagai pemimpin parti, sudah semestinya semua pihak yang terlibat dalam sidang akhbar tersebut sedar dan sedia maklum akan implikasi tindakan serta kenyataan mereka.
Ujarnya, mereka juga sudah tentu memahami bahawa perbuatan tersebut jelas bercanggah dengan Perlembagaan Parti dan Kod Etika dan Tatakelakuan Ahli.
“Persoalannya mengapa mereka tetap meneruskan tindakan mereka walaupun mengetahui bahawa perbuatan itu melanggar perlembagaan dan peraturan parti, boleh menyebabkan mereka dipanggil oleh Lembaga Disiplin parti serta berkemungkinan besar dikenakan tindakan disiplin?
“Adakah tindakan mereka ini disengajakan? Adakah mereka mendapat sebarang habuan untuk melakukannya? Atau adakah mereka sengaja mencabar parti dengan anggapan bahawa mereka akan terlepas daripada sebarang tindakan oleh Lembaga Disiplin?
“Atau, adakah mereka beranggapan bahawa selepas mencemarkan imej parti, mereka dengan mudah akan diberikan pengampunan oleh Lembaga Rayuan?” katanya dalam satu kenyataan.
Dalam masa sama, beliau mempersoalkan mengapa pemimpin-pemimpin dari beberapa bahagian di Perak itu tidak berani hadir dan menyuarakan pandangan dalam Sesi Pertemuan Pemimpin-pemimpin Negeri Perak dengan Presiden Pengasas Bersatu yang diadakan keesokan harinya.
Tegasnya, pemimpin berkenaan sepatutnya faham bahawa perlembagaan parti ialah dokumen tertinggi yang mengawal struktur, hala tuju, kuasa dan proses membuat keputusan parti.
Sehubungan itu, katanya, sebarang tindakan yang bercanggah dengan perlembagaan parti bukan sahaja merupakan satu pelanggaran disiplin, malah boleh dianggap sebagai pengkhianatan terhadap amanah keahlian.
Semalam, media melaporkan beberapa Ketua Bahagian Bersatu Perak yang lantang mendesak Presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin berundur, menerima surat notis panggilan menghadap LD parti itu pada 14 Januari ini.
Berdasarkan laporan itu, antara yang dipanggil ialah Ketua Bersatu Bahagian Teluk Intan; Padang Rengas; Gopeng; Tapah; Larut dan Pasir Salak serta Ketua Srikandi Tambun. – MalaysiaGazette
















