BAYAN LEPAS – Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) menegaskan pendiriannya terbuka menerima mana-mana pemimpin daripada komponen Perikatan Nasional (PN) untuk menerajui gabungan itu sebagai Pengerusi susulan peletakan jawatan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Bagaimanapun, Presidennya, Datuk Dominic Lau Hoe Chai berkata, pihaknya menekankan beberapa kriteria utama yang perlu dipenuhi sebelum seseorang dilantik sebagai Pengerusi gabungan tersebut.

Jelas beliau, Gerakan tidak melihat jawatan Pengerusi PN berdasarkan parti mana yang memiliki jumlah kerusi Parlimen terbanyak, sebaliknya menilai kemampuan seseorang pemimpin untuk menyatukan semua komponen dalam gabungan berkenaan.

“Antara kriteria utama yang kita tekankan ialah pemimpin itu mesti mampu menyatukan semua parti komponen PN.

“Selain harus mendapat sokongan dan mandat daripada semua lapisan rakyat Malaysia yang berbilang kaum, agama dan budaya agar kemenangan memihak kepada PN pada pilihan raya akan datang,” katanya kepada pemberita hari ini.

Terdahulu, Dominic melakukan tinjauan mesra dan mengedarkan kalendar 2026 kepada orang ramai di Pasar Sungai Ara di sini.

Beliau turut menegaskan Gerakan tidak berhasrat untuk memimpin PN, namun pendirian parti itu berhubung kriteria kepimpinan telah dimaklumkan kepada Pas, Bersatu serta Parti Rakyat India Malaysia (MIPP).

“Kita (Gerakan) cerminkan diri jadi memang tak berhasrat jadi pengerusi.

“Kita juga mengambil kira realiti politik semasa apabila PN sebelum ini gagal memperoleh sokongan mencukupi daripada pengundi bukan Melayu dan bukan Islam selain perkara itu sedang diperbaiki menjelang pilihan raya akan datang.

“Malah, kita sentiasa memainkan peranan sebagai satu jambatan kepada non-Malay dan non-Muslim untuk menyuarakan kebimbangan dan permintaan mereka dalam PN,” katanya.

Mengulas sama ada Gerakan boleh menerima Pengerusi PN daripada Pas, Dominic berkata, parti itu kekal terbuka selagi pemimpin berkenaan memenuhi kriteria yang ditetapkan.

“Sesiapa pemimpin yang boleh menyatukan semua komponen parti, mendapatkan sokongan semua lapisan rakyat dan membawa kemenangan kepada Perikatan Nasional, dialah yang layak memimpin,” katanya.

Dalam pada itu, Dominic berkata, isu peletakan jawatan Pengerusi PN masih belum dimuktamadkan kerana ia tertakluk kepada penerimaan Majlis Tertinggi PN mengikut perlembagaan gabungan itu.

“Sebarang keputusan berkaitan kepimpinan PN perlu dibuat mengikut perlembagaan dan mekanisme yang ditetapkan.

“Kita harap isu tersebut dapat diselesaikan melalui perbincangan bersama dalam kalangan presiden parti komponen,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, Muhyiddin yang juga bekas Perdana Menteri mengumumkan meletak jawatan Pengerusi PN selepas lima tahun mengetuai gabungan itu, berkuat kuasa pada 1 Januari lalu.

Berikutan itu, timbul pelbagai spekulasi calon yang akan memimpin gabungan itu dengan antara nama disebut adalah Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Moktar. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast