Laporan MalaysiaGazette pada Khamis lalu.

GEORGE TOWN – Hasrat seorang ibu untuk bertemu anaknya yang terputus hubungan hampir 11 tahun berakhir, apabila Firdaus Md Yusuff hanya sempat menatap jenazah ibunya yang meninggal dunia beberapa jam sebelum kedatangannya.

Abang Firdaus, Shahril Azhar Md Yusuff, 52,  berkata, Firdaus, 49, pulang semalam selepas dihubungi seorang sepupu keluarga, hasil daripada bantuan orang ramai susulan laporan berita dan perkongsian berhubung pencariannya di media sosial.

Shahril Azhar memaklumkan, ibu mereka, Shaarom Bee Babjan, 80, meninggal dunia di rumah kakaknya di Sungai Layar, Sungai Petani, Kedah kira-kira jam 4 petang, manakala adiknya sempat tiba sekitar jam 7 malam.

“Firdaus balik petang semalam dan kami percaya bantuan daripada berita dan posting di Facebook menjadi petunjuk penemuan ini selepas dia dapat dihubungi oleh seorang sepupu saya petang semalam.

Mak kami dikebumikan selepas solat Isyak di Sungai Petani dan Alhamdulillah, semua urusan pengebumian berjalan lancar dan selesai sepenuhnya,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Shahril Azhar mewakili keluarga turut merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang membantu mempermudahkan urusan pencarian Firdaus dan pengurusan jenazah.

“Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada semua terutama kakitangan terutamanya kakitangan Hospital Sultan Abdul Halim di Sungai Petani atas segala usaha mempermudahkan urusan kami,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN

Ibu kritikal di zon merah, anak terpisah 11 tahun dirayu pulang

MalaysiaGazette pada Khamis lalu melaporkan sebuah keluarga merayu bantuan orang ramai untuk mengesan adik mereka, Firdaus Md Yusuff, 49, yang terputus hubungan hampir 11 tahun lalu.

Abangnya, Shahril Azhar Md Yusuff, 52, berkata,  ibunya, Shaarom Bee Babjan, 80, yang uzur dan kritikal di Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani beberapa kali menyatakan hasrat untuk bertemu Firdaus. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast