Pasukan polis memeriksa sebuah kereta, yang mana seorang remaja perempuan ditemui meninggal dunia di Bandar Sejati Walk, Sandakan, pagi tadi.

KUALA LUMPUR – Seorang pelajar perempuan yang dilaporkan hilang ditemukan meninggal dunia dalam kereta bersama seorang lelaki di Bandar Sejati Walk, Sandakan pagi tadi.

Pelajar berusia 17 tahun itu ditemui bersama remaja lelaki berusia 18 tahun di bahagian penumpang belakang kenderaan kira-kira jam 8 pagi tadi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sandakan, Superintendan K Ramasamy, berkata sepasukan anggota polis bersama unit forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima maklumat awam mengenai penemuan itu.

Katanya, pemeriksaan mendapati semua tingkap kereta tertutup rapat dan berkunci dengan barang berharga milik mangsa masih berada dengannya ketika ditemui.

Bapa mangsa menemui keretanya di tempat letak kereta Bandar Sejati Walk sebelum menemui kedua-dua mangsa selepas membuka pintu kereta menggunakan kunci pendua,” katanya menurut Harian Metro.

Menurut Ramasamy, setakat ini kes diklasifikasikan mati mengejut kerana pemeriksaan awal tidak menemui sebarang unsur jenayah atau khianat.

Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Duchess of Kent untuk proses bedah siasat.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast