ISKANDAR PUTERI – Seorang lelaki terselamat daripada rentung apabila sempat menyelamatkan diri selepas kereta dipandu kemalangan dan terbakar di kawasan Puteri Harbour di sini malam tadi.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M Kumarasan berkata, dalam kejadian tersebut kereta mangsa terbabas sendiri selepas melanggar tembok penghadang jalan sebelum terbakar.
“Mangsa yang berusia 31 tahun sempat keluar dari kereta sebelum terbakar. Mangsa masih belum membuat laporan polis,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Iskandar Puteri, Pegawai Bomba Kanan I Zul Fahmi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian tersebut pukul 7.59 malam.
Susulan itu katanya, seramai tujuh anggota dibantu sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dikejarkan ke tempat kejadian yang jaraknya kira-kira lapan kilometer.
“Setibanya di tempat kejadian mendapati kereta tersebut dianggarkan 80 peratus terbakar keseluruhan kenderaan. Mangsa berjaya dikeluarkan orang awam sebelum pihak bomba tiba di lokasi.
“Mangsa hanya mengalami kecederaan ringan. Pihak bomba melakukan kerja-kerja pemadaman menerusi jentera sedia ada,” katanya dalam kenyataan.
Tambahnya , punca kejadian dan kerugian masih dalam siasatan.- MalaysiaGazette
















