KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini meluangkan masa menyaksikan perlawanan akhir Badminton Terbuka Malaysia 2026.
Kehadirannya adalah untuk memberikan sokongan kepada pasangan beregu lelaki negara, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik yang berentap menentang Korea Selatan, Kim Won Ho–Seo Seung Jae.
Katanya, meskipun keputusan perlawanan tidak menyebelahi pasukan negara namun rakyat tetap berbangga dengan semangat kedua-dua mereka.
“Teruskan bekerja keras, perbaiki setiap kelemahan dan kekalkan keyakinan. Insya-Allah, lebih banyak kejayaan akan dicapai selepas ini,” tulisnya menerusi hantaran di media sosial.
Difahamkan, Anwar yang tiba jam 5 petang tadi disambut oleh Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari dan Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.
Beliau turut menyampaikan hadiah pada sesi beregu lelaki yang menyaksikan gandingan negara, Aaron Chia–Soh Wooi Yik muncul sebagai naib juara selepas tewas kepada juara bertahan, hari ini.-MalaysiaGazette
















