KUALA LUMPUR – Dewan Ulamak Pas Pusat (DUPP) menggesa Kerajaan Persekutuan menggubal satu akta serta sistem percukaian yang lebih khusus tersusun dan sistematik bagi mengawal aktiviti penternakan dan jualan babi di seluruh negara.
Ketua Penerangannya, Datuk Mohd Nor Hamzah berkata, langkah itu penting bagi memastikan pengawalan yang selari dengan pendekatan pentadbiran Islam yang menekankan kawalan, keadilan, kebajikan masyarakat serta penghormatan terhadap sensitiviti agama dalam sebuah negara majmuk.
Penggubalan akta percukaian khusus, perlesenan yang ketat serta bayaran tetap ke atas setiap aktiviti ternakan dan jualan babi juga merupakan antara mekanisme penting bagi menandakan kawalan kerajaan yang menyeluruh terhadap industri itu.
Menurut beliau, langkah itu juga bertujuan mengelakkan aktiviti tersebut berkembang secara tidak terkawal sehingga mencetuskan mudarat kepada masyarakat dan alam sekitar.
“Kebimbangan utama yang timbul ialah apabila ladang penternakan babi dicadangkan berhampiran penempatan penduduk, termasuk kawasan yang didiami oleh orang bukan Islam sendiri, tanpa mengambil kira kesan sosial, kesihatan awam, alam sekitar serta sensitiviti komuniti sekeliling, khususnya umat Islam,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambah Mohd Nor, Islam tidak menyekat hak orang bukan Islam untuk memakan babi atau menjalankan aktiviti perniagaan serta penternakan tersebut.
Bagaimanapun, ujarnya, kebebasan itu tidak bersifat mutlak dan mesti dikawal supaya tidak dilakukan secara terbuka dan meluas sehingga mengganggu sensitiviti umat Islam serta menimbulkan kegusaran dalam kalangan masyarakat Muslim.
“Dalam panduan pentadbiran Islam sebagaimana yang direkodkan pada zaman pemerintahan Khulafa’ al-Rasyidin, setiap kegiatan yang melibatkan perkara yang diharamkan kepada umat Islam hendaklah berada di bawah kawalan pemerintah.
“Urusan penternakan, pengurusan dan pengawasan tidak boleh diserahkan secara bebas kepada pihak swasta semata-mata sebaliknya perlu melalui pelantikan, kelulusan dan pemantauan pihak kerajaan,” katanya.
Tambah beliau, DUPP menyeru semua pihak supaya menjadikan keharmonian masyarakat, kebijaksanaan tadbir urus dan penghormatan terhadap agama Islam sebagai asas utama dalam menangani isu itu demi kesejahteraan negara serta kestabilan sosial jangka panjang. – MalaysiaGazette
















