Sankara Nair (kanan) dan Teresa ketika ditemui media selepas proses mediasi di Kompleks Mahkamah Melaka, hari ini.

MELAKA – Prosiding perbicaraan kes saman RM25 juta oleh Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok terhadap Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh yang didakwa memutar belit kenyataannya mengenai isu pensijilan halal akan bermula pada 12 dan 13 Februari ini.

Tarikh prosiding itu ditetapkan selepas  proses mediasi antara bekas Naib Presiden DAP dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu gagal mencapai sebarang persetujuan di hadapan Timbalan Pendaftar, Suzana Mokhtar di Kompleks Mahkamah Ayer Keroh hari ini.

Peguam Teresa, Peguam Datuk Sankara Nair berkata, perbincangan turut dihadiri anak guamnya itu dan Dr Akmal bersama barisan peguam kedua-dua pihak berlangsung selama hampir sejam.

“Kita telah berbincang antara pihak peguam dan juga kedua-dua Yang Berhormat (YB) dan nampaknya kita tak dapat mencapai satu persetujuan di mediasi.

“Oleh itu kita akan terus ke mahkamah untuk perbicaraan pada 12 dan 13 Februari ini,” katanya ketika ditemui media selepas proses mediasi di Kompleks Mahkamah Melaka di sini hari ini.

Menurut beliau, perbicaraan akan dijalankan selama dua hari di Mahkamah Tinggi Melaka dengan semua tuntutan kekal seperti yang difailkan sebelum ini tanpa ada sebarang perubahan.

Dalam proses mediasi itu Dr Akmal turut diwakili peguam Syahrul Syazwan Salehin dan Iqbal Harith Liang.

Teresa pada Oktober tahun lalu memfailkan saman fitnah terhadap Dr Akmal Saleh di Mahkamah Tinggi Melaka berhubung isu sijil halal.

Teresa selaku plaintif mengemukakan saman itu menerusi Tetuan SN Nair & Partners, berhubung kenyataan didakwa fitnah oleh Ketua Pemuda UMNO itu dalam video di aplikasi TikTok, pada 7 September lalu.

Dr Akmal sebelum ini menempelak tindakan Teresa yang dilaporkan mendakwa cadangan mewajibkan perolehan sijil halal ke atas restoran dan syarikat makanan hanya menambah beban terhadap peniaga.

Menyifatkan Ahli Parlimen Seputeh itu sebagai ‘nyonya tua’, Dr. Akmal berkata, Teresa tidak sepatutnya mencampuri urusan agama Islam berkaitan pensijilan halal. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast