JOHOR BAHRU – Tindakan tegas tanpa kompromi mesti diambil terhadap mana-mana anggota atau pegawai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang terlibat, tanpa mengira pangkat dan kedudukan.
Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Johor, Aminolhuda Hassan berkata, tiada perlindungan atau cubaan menutup kes babit anggota atau pegawai ATM bagi menjaga imej kerana ketelusan adalah kunci memulihkan kepercayaan rakyat.
Ahli Parlimen Sri Gading itu menegaskan, proses perolehan dan pentadbiran dalam ATM perlu diaudit dan direformasi secara menyeluruh bagi memastikan tiada pihak cuba menutup ruang salah guna kuasa.
“Amanah Johor percaya titah Yang di-Pertuan Agong mencerminkan kehendak rakyat agar budaya rasuah dibanteras sehingga ke akar umbi, termasuk dalam institusi yang paling dihormati negara. Integriti tidak boleh dipilih-pilih dan undang-undang mesti ditegakkan dengan adil.
“Amanah Johor menegaskan komitmen untuk terus menyokong usaha memperkukuh integriti, ketelusan dan tatakelola baik demi keselamatan serta maruah negara,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, Amanah Johor memandang serius pendedahan dan siasatan berkaitan kes rasuah yang melibatkan anggota dan pegawai ATM.
Katanya, tindakan menerima rasuah oleh mana-mana anggota tentera adalah satu pengkhianatan besar terhadap negara, mencemarkan nama baik ATM serta meruntuhkan kepercayaan rakyat terhadap institusi pertahanan negara.
ATM ujarnya, merupakan benteng kedaulatan negara dan simbol disiplin serta integriti.
Jelasnya, sebarang perlakuan rasuah bukan sahaja melanggar undang-undang, malah bertentangan dengan nilai kehormatan, sumpah taat setia dan prinsip ketenteraan yang seharusnya dijunjung tinggi.
Sebelum ini bekas Panglima Tentera Darat (PTD) ditahan bagi membantu siasatan berkaitan dakwaan penerimaan rasuah melibatkan projek tender perolehan Tentera Darat Malaysia (TDM).
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini pula meneruskan proses mengambil keterangan seorang pegawai tertinggi ATM yang dipanggil semalam bagi membantu siasatan kes dakwaan rasuah.- MalaysiaGazette
















