Seorang pemuda maut selepas motosikal ditunggang bergesel sebelum terjatuh dilanggar kereta di Jalan Johor Bahru-Ayer Hitam, Kulai, malam tadi

KULAI – Seorang pemuda maut selepas motosikal ditunggangnya terlibat dalam nahas empat kenderaan di Kilometer 43 Jalan Johor Bahru-Ayer Hitam, arah Ayer Hitam di sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee berkata, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai dimaklumkan kemalangan tersebut berlaku pukul 9.30 malam.

“Kemalangan melibatkan sebuah motosikal jenis Yamaha EZ115 ditunggang mangsa berusia 31 tahun dengan dua kereta jenis Perodua dan sebuah pacuan empat roda jenis Toyota Hilux.

“Siasatan awal mendapati mangsa menunggang di lorong kanan dari arah Kelapa Sawit telah hilang kawalan kerana bergesel dengan Perodua Alza semasa mahu memotong kereta tersebut,” katanya dalam kenyataan.

Situasi itu menyebabkan penunggang motosikal terbabit hilang kawalan dan melanggar sebuah Perodua Myvi sehingga mengakibatkan mangsa terjatuh di lorong bertentangan sebelum dirempuh Toyota Hilux.

Mangsa mengalami kecederaan parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Seng Lee berkata, mayat dibawa ke Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim di sini untuk bedah siasat.

Tambahnya, kes disiasat bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kejadian ini boleh berhubung dengan Pegawai Penyiasat Inspektor Mohd Ruslan Mohamed 013-3063710,” katanya.

Mereka juga katanya, boleh hadir ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai.- MalaysiaGazette

 

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast