GEORGE TOWN – Seorang pegawai polis berpangkat Asisten Superintendan (ASP) ditahan direman selama empat hari bagi membantu siasatan menerima rasuah lebih RM20,000.
Perintah reman terhadap suspek berusia 58 tahun itu dikeluarkan Majistret Nadratun Naim Mohd Saidi bermula hari ini sehingga 16 Januari depan selepas permohonan dibuat pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Suspek yang berkhidmat di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang itu ditahan semalam kira-kira 10.30 malam selepas hadir memberi keterangan di pejabat SPRM.
Difahamkan SPRM menerima aduan berhubung kegiatan suspek dan menjalankan risikan beberapa tahun sebelum melakukan tangkapan.
Suspek dikatakan menerima rasuah lebih RM20,000 antara tahun 2016 hingga 2021 daripada lima individu.
Kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009. – MalaysiaGazette
















