SHAH ALAM – Pihak berkuasa tempatan (PBT) akan memastikan tidak ada permit akan diluluskan untuk Glamping with Pride yang membabitkan gaya hidup songsang, lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).
Bagaimanapun Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dalam masa yang sama aktiviti glamping biasa masih dibenarkan seperti sebelum ini.
“Permit untuk aktiviti itulah (tidak dibenarkan) tapi kalau aktiviti glamping biasa dengan keluarga okay. Saya percaya bahawa titah tuanku (Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah) tidaklah terlalu rigid tetapi menjurus aktiviti songsang dan yang tidak dapat diterima. Yang salah bukan aktiviti tapi tema itu.
“Saya rasa hal itu (penganjuran) tidak akan berlaku tapi kalau mereka tetap mencabar saya minta pihak berkuasa ambil tindakan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Pengerusi Panel Penasihat Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Selangor dan Wilayah Kuala Lumpur di sini hari ini.
Turut hadir Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil.
Katanya, dalam masa yang sama pihak berkuasa menerusi Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) akan sentiasa membuat pemantauan dari semasa ke semasa.
“Saya belum dapat maklum balas tapi jelas PBT telah diberikan arahan jadi kalau ada pun ia (permohonan permit) tidak akan diterima sebab hal tersebut daripada awal, sudah ada kenyataan dan penekanan terhadap penolakan,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Exco Agama Islam & Pembudayaan Inovasi Negeri Selangor, Dr. Mohammad Fahmi Ngah berkata, sehingga kini tiada permohonan penganjuran aktiviti berkenaan.
Katanya, setakat ini penganjuran tersebut hanya tersebar menerusi hebahan di media sosial.
Semalam, Sultan Selangor menitahkan MAIS dan Mufti Selangor mengambil tindakan tegas terhadap sebarang aktiviti yang membabitkan gaya hidup LGBT di negeri ini.
Pengerusi MAIS, Datuk Salehuddin Saidin dan Mufti Selangor, Datuk Dr Anhar Opir dalam kenyataan bersama berkata, Sultan Sharafuddin menzahirkan tentangan dan bantahan keras terhadap sebarang aktiviti songsang LGBT yang dianjurkan dalam negeri Selangor.- MalaysiaGazette
















