Kompleks Mahkamah Melaka

MELAKA – Seorang lelaki mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh hari ini atas pertuduhan mencuri dan berniaga harta curi berupa 17 jongkong emas, cincin dan gelang berlian milik Pegawai Kewangan Negeri berjumlah kira-kira RM254,000 sejak dua tahun lalu.

Hakim Rohatul Akmar Abdullah bagaimanapun menetapkan 15 Januari ini untuk fakta kes dan jatuh hukum terhadap tertuduh, Mohd Zakuan Abdul Rashid yang berusia 35 tahun.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh dengan niat telah mencuri dalam bangunan yang digunakan sebagai tempat kediaman milik Datuk Wira Salhah Salleh iaitu wang tunai RM20, satu utas gelang emas, dua cincin berbentuk berlian, dua utas gelang berlian dan 17 ketul jongkong emas berat keseluruhan dianggarkan 86 gram.

Semua kesalahan itu dilakukan antara bulan Jun 2024 hingga Disember 2025 di Rumah Kerajaan Yang Berhormat Pegawai Kewangan negeri, Bukit Peringgit dalam daerah Melaka Tengah di sini yang digunakan sebagai tempat kediaman Salhah.

Jika sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan boleh juga dikenakan denda dan bagi kesalahan kedua atau yang kemudian hendaklah dihukum dengan pemenjaraan dan hendaklah juga dikenakan denda atau sebat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan.

Manakala bagi pertuduhan kedua, tertuduh turut mengaku bersalah dengan lazimnya berniaga barangan curi berkenaan di Kampung Paya Rumput dalam daerah Melaka Tengah pada tempoh dan tempat sama yang menjadi kesalahan di bawah Seksyen 413 Kanun Keseksaan.

Kesalahan itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda.

Sementara itu dalam prosiding sama, seorang peniaga emas, Noazira Jaafar, 41, mengaku tidak bersalah menerima barang kemas berkenaan di bawah Seksyen 413 kanun sama.

Peguam, Ishak Kari memohon anak guamnya itu yang memiliki lesen jual beli emas secara kecil-kecilan dikenakan jaminan rendah dengan alasan hanya berpendapatan bulanan kurang RM4,000, anak yang masih kecil selain suami hanya bekerja sebagai pengawal keselamatan.

Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Asri Abd Rahman Sidik bagaimanapun mencadangkan masing-masing tertuduh dikenakan jaminan RM100,000 kerana melibatkan kerugian tinggi kepada mangsa berjumlah keseluruhan RM254,000.

Hakim Rohatul Akmar bagaimanapun tidak membenarkan Mohd Zakuan yang tidak mempunyai penjamin diikat jamin manakala
Noazira dibenarkan jaminan RM20,000.

Tertuduh turut dikenakan syarat tambahan melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan, hadir setiap kali sebutan dan menetapkan tarikh 10 Februari ini untuk sebulan semula kes. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast