SEREMBAN – Seramai 200 mahasiswa Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Negeri Sembilan, Kampus Seremban menyertai Program Usahawan Digital YPM 2026 anjuran Kelab Prime Mover UiTM dengan kerjasama Yayasan Pelajaran Mara (YPM).
Program yang berlangsung sehari, baru-baru ini dirangka khusus bagi melengkapkan mahasiswa dengan kemahiran praktikal dan strategi perniagaan moden selari dengan keperluan ekonomi digital yang semakin mencabar.
Inisiatif ini turut mendapat sokongan strategik daripada Maybank Islamic Finance selaku penaja utama program.
Program ini memberi penekanan kepada pembelajaran secara praktikal dengan bimbingan penceramah jemputan, Siti Nur Suraya binti Mohamed Ali, seorang pakar keusahawanan digital.
Selain pendedahan kepada pemasaran digital dan pengurusan kewangan, peserta turut dibimbing dalam membina rangkaian perniagaan yang mampan bagi memastikan kelangsungan perniagaan pada masa hadapan.
Bagi memastikan keberkesanan penyampaian, program ini dibahagikan kepada tiga modul utama yang bersifat interaktif:
Modul Asas Perniagaan memberi fokus kepada pembentukan minda keusahawanan, pembangunan Business Model dan Value Proposition. Peserta turut diberi tugasan membina simulasi perniagaan sendiri serta menghasilkan identiti visual dan logo menggunakan platform digital secara langsung.
Modul Zero Marketing pula menekankan penggunaan teknologi terkini apabila peserta didedahkan kepada aplikasi kecerdasan buatan (AI) seperti Gemini untuk menyunting video serta menghasilkan kandungan kreatif merangkumi teks, imej dan muzik. Penekanan turut diberikan kepada teknik menghasilkan kandungan tular yang berpotensi memacu jualan.
Sementara itu, Modul TikTok untuk Menjana Kewangan membuka perspektif baharu kepada mahasiswa tentang potensi media sosial sebagai sumber pendapatan. Modul ini merangkumi strategi Personal Branding, sistem pemasaran afiliasi serta etika dan garis panduan (Do’s & Don’ts) dalam mempromosikan produk secara berkesan dan berintegriti.
Kemuncak program menyaksikan keberanian dan kreativiti mahasiswa apabila mereka diberi peluang membentangkan projek simulasi perniagaan masing-masing di atas pentas. Pembentangan ini bukan sahaja menguji kefahaman terhadap modul yang dipelajari, malah berperanan mengasah kemahiran komunikasi, keyakinan diri dan karisma peserta di hadapan panel mentor, termasuk Puan Siti Nur Suraya sendiri.
Pendekatan ini dilihat berkesan dalam menyuntik mentaliti pemenang serta mempersiapkan mahasiswa untuk menghadapi cabaran sebenar dalam dunia perniagaan digital.
Menurut Pengarah Program, Muhamad Adib bin Abdullah, program seumpama ini wajar diperluaskan bagi membantu mahasiswa menjana pendapatan sendiri di samping pengajian akademik.
Melalui penganjuran program berimpak tinggi ini, UiTM Cawangan Negeri Sembilan, Kampus Seremban diyakini mampu terus melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang dari segi akademik, malah berupaya menyumbang secara signifikan kepada kemampanan ekonomi negara melalui inovasi dan keusahawanan digital.- MalaysiaGazette
















