Seorang pemandu maut dalam kemalangan melibatkan sebuah lori dan treler di Lebuhraya Utara Selatan, Tangkak, hari ini.

TANGKAK – Seorang pemandu lori maut dalam kemalangan melibatkan sebuah lori membawa perkakasan (hardware) dan treler 40 kaki yang membawa muatan gegelung di Kilometer 167.5, Lebuhraya Utara Selatan, arah utara, di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintendan Roslan Mohd. Talib berkata, dalam nahas 5.27 pagi tadi, sebuah treler Scania P380 yang berada di lorong kiri telah terlanggar lori jenis Hino yang berada di lorong kecemasan.

“Semasa kejadian, pemandu lori tersebut dipercayai berada di belakang kenderaannya yang mengalami kerosakan.

“Pelanggaran tersebut menyebabkan pemandu lori telah terseret dan tersepit di bawah kenderaannya,” katanya dalam kenyataan.

Ia menyebabkan pemandu lori mengalami kecederaan parah di bahagian dada sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan.

Manakala pemandu treler, A. Sathiya Varma, 34, yang beralamat di Taman Sri Pulai Perdana, Skudai, Johor Bahru, cedera di bahagian kaki kiri dan kanan.

Menurutnya, kes disiasat bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Gambir, Penolong Penguasa Bomba Mohd Farizan Mokhtar berkata, seramai 16 anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Gambir dibantu dua jentera dikejarkan ke tempat kejadian.

Tambahnya, operasi yang diketuai Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan Mohd Khalid Mohd Aris ditamatkan pukul 6.58 pagi.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast