Ab Rahaman memeriksa barisan dalam Perhimpunan Bulanan Peringkat Kontinjen Johor Bagi Bulan Januari di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, Johor Bahru hari ini.

JOHOR BAHRU – Seramai 234 ahli sindiket ditahan selepas polis berjaya melumpuhkan 38 premis yang dijadikan pusat panggilan sindiket penipuan dalam talian di seluruh negeri sepanjang 2025.

Ketua Polis Johor, Datuk Ab. Rahaman Arsad berkata, pihaknya turut merampas pelbagai peralatan bagi memperdaya mangsa dalam tempoh berkenaan.

Beliau memberitahu, daripada jumlah itu, seramai 106 individu telah berjaya dituduh di mahkamah atas pelbagai kesalahan di bawah undang-undang sedia ada.

“Semua pusat panggilan ini melibatkan pelbagai modus operandi termasuk penipuan pelaburan, phone scam, tawaran pekerjaan sambilan dan pinjaman tidak wujud.

“Tindakan tegas ini mencerminkan komitmen berterusan Polis Johor khususnya Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) dalam membendung jenayah komersil yang semakin berleluasa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.

Dalam perhimpunan bulanan itu, seramai 23 anggota dan pegawai polis, 11 orang awam dan seorang Ahli Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Kontinjen Johor menerima sijil penghargaan.

Datuk Ab. Rahaman berkata, seiring dengan peningkatan kes penipuan masa kini, JSJK Johor akan terus mengambil pelbagai inisiatif secara berterusan bagi menangani sindiket penipuan berkenaan.

Jelasnya, ini termasuk mempergiatkan program pencegahan dan aktiviti kesedaran bagi memberi pendedahan kepada masyarakat mengenai taktik serta modus operandi yang digunakan oleh sindiket penipuan.

“Justeru, orang ramai agar sentiasa berwaspada, tidak mudah terpedaya dengan tawaran mencurigakan dan membuat semakan terlebih dahulu sebelum melakukan sebarang transaksi kewangan bagi mengelakkan menjadi mangsa penipuan,” katanya.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast